Monday, September 26, 2011

Warna-Warna Belia

(diilhamkan daripada warna-warni Jalur Gemilang)


Merah darah belia bangsa
mengalir likat bercampur keringat
mencatat nama sudah biasa
menjalin idea bersama semangat

Putih warna bunga seroja
harum mewangi lekat di hati
masa belia muda remaja
menabur budi mencurah bakti

Biru laut menghempas batu
nyaman dirasa sedingin salju
rakyat berpadu belia bersatu
arah dituju Malaysia maju

Kuning kencana indah berkilat
dibias cahaya bintang kejora
raja berdaulat belia bersilat
menjunjung agama memimpin negara

Thursday, September 22, 2011

Eksklusif: 10+10=RM10K

Apa yang eksklusif sangat ni? Apa yang 10? RM10K?
Sepanjang hampir 2 tahun mengendalikan laman ini, penulis pernah beberapa kali ditanya oleh rakan-rakan blogger mengenai jumlah pendapatan yang telah terkumpul. Masakan tidak, iklan penuh ditampal di sekeliling laman. Lumayan?

       Maka setelah 10 bulan aktif dan 10 bulan pasif ‘berblogging,’ penulis akhirnya mengambil keputusan untuk menyiarkan entry ini. Buat pengetahuan semua, ini adalah entry pendedahan yang pertama seumpamanya wujud di laman Aksara Cinta Ilahi, biarpun sebelum ini telah ramai rakan-rakan blogger yang pernah mendedahkan jumlah pendapatan sampingan mereka yang diperolehi menerusi blog - antaranya menerusi syarikat pengiklanan seperti Nuffnang, Churp-Churp, Innity, Advertlets, dll...Secara mudahnya, 10 bulan aktif, 10 bulan pasif, maka RM10K telah terjana!

      Bukan berniat untuk bangga diri (lebih ramai blogger hebat di luar sana yang berhak), namun sekadar untuk berkongsi. Apa yang ingin dikongsi? Rasa bahagia dan teruja dengan sokongan kalian semua, pembaca dan pelawat laman ini yang setia. Dengan rasa penuh kesyukuran, penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih buat kalian, moga sokongan anda kekal berterusan. Dan semoga pendedahan ini dapat membangkitkan semangat buat blogger-blogger baru di luar sana untuk terus aktif menulis, seterusnya menyebarkan manfaat buat tatapan semua pihak. Mungkin menjana pendapatan bukan tujuan utama, namun bila ada hasilnya kita terima dengan hati yang terbuka.

Berikut merupakan peratusan hasil pendapatan yang telah diterima penulis:

Innity: 72%
Kemenangan dalam contest: 10%
Nuffnang: 8%
Says.my: 6%
DapatWang: 2%
Lain-lain: 2%

Wednesday, September 14, 2011

Tarian Tempang Si Gadis Desa

    (sebuah cerpen dalam cerpen)
    
   Dinihari itu fajar mula menyinsing menguak siang namun embun kasturi masih dibuai pawana. Dan bila mentari perak bersinar terang, beburung rimba mula bercanda mesra. “Subhanallah. Indahnya alam ciptaan-Mu. Biar fizikalku keras membatu, kalbuku tetap sujud pada-Mu,” keluh Neerza sendirian di hamparan tikar sembahyang. Subuh telah pergi, Dhuha masih menanti.

     Neerza, seorang gadis genit yang tenang dan matang mendepani kehidupan. Anak jati kelahiran Kulim ini membesar penuh sederhana, bersama ibu dan adik-adik tercinta. Dalam kemiskinan keluarga, Neerza kaya jiwa dalam beragama. Walau terpaksa merangkak wudhu’nya sentiasa ada, walau terpaksa berbaring solatnya tetap terjaga. Sopannya menyejukkan hati, bakat penulisannya sering dicemburui. “Ooi perempuan! Hang jangan duk suka sangat noo. Kalau tak sebab aku yang tolong hang hantar proposal tu minggu lepas, teruk hang kena tau!” ungkit Mirani cemburu. Manakan tidak, Neerza sering dihambur pujian oleh cikgu bahasa mereka kerana keberkesanan cerpennya yang menyentuh jiwa dan raga.

   Mungkin kerna keterbatasan hidup menyebabkan Neerza begitu galak membaca serta minat menulis pelbagai genre cerita. Tiada jiran yang sudi berkawan, tiada adik yang sudi meneman, menyebabkan dia lebih suka berangan sendirian. Angannya tidak kosong, angannya ada isi dan berimaginasi tinggi. Namun jauh di sudut sanubari, Neerza akur akan kekurangan diri yang tertulis sejak azali. Kekurangan yang menjadi rahsia buat mereka yang tidak pernah bertentang mata melihat sendiri.

*****
“Tahniah nak. Mak bangga dengan kamu. Walau kamu tak secantik yang lain, kamu punya usaha dan bakat yang berbeza.”

“Syukur pada Tuhan mak. Dan terima kasih juga buat mak kerana banyak menyokong Neerza selama ni. Kalau bukan emak yang susah payah ke sana ke sini, belikan pensel kontot ni, mana mungkin cerpen Neerza akan diikitiraf di pentas segah ini.”

     Neerza bangga. Walaupun dia tidak dapat hadir berdiri, namun majlis itu diwakili emaknya sendiri. Sejak dianugerahkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)  peringkat menengah atas melalui cerpennya ‘Tarian Tempang Si Gadis Desa’, nama Mawar Merah sering meniti di bibir peminat puisi dan cerpen seluruh negara. Tawaran untuk menyambung pengajian ke sebuah IPT di ‘negeri di bawah bayu’ terpaksa ditolak kerana kekurangan yang ada menyebabkan Neerza punya lebih masa untuk menulis secara serius dan bermakna. Kariernya sebagai penulis muda bermula. Cerpennya diangkat dan dicetak ke dalam pelbagai media massa, malah pernah dialih bahasa. Pena Mawar Merah mula sinonim dengan puisi Ombak Rindu, Pencinta Ilmu dan Ayahku Anakmu. Namun di sebalik nama pena tersebut, tidak ramai yang mengenali siapa Neerza sebenarnya.

*****
     Lewat usia remaja, Neerza mula merasai manisnya cinta setelah mengenali seorang jejaka tanpa sengaja, jejaka tampan peminat setia nukilannya. Cinta yang mekar tanpa dipinta, mewangi dan terus mewarnai diari harinya. Walaupun tidak pernah mengadap muka namun gelaran ustaz muda yang menjadi milikan si jejaka terus meyakinkan Neerza akan kekuatan emosi dan kematangan akalnya. Aqmar merupakan anak muda lulusan Kuliyah Syariah wal-Qanun, Universitas Al-Azhar Mesir. Perhubungan jarak jauh melalui kiriman e-mail akhirnya mengikat dua hati untuk sehidup semati. Sehinggalah beberapa purnama menjelang, kiriman ini pun datang.

Rombongan Merisik Khabar                 *Wed, Dec 08, 2010 11:12:13  PM 
From: Aqmar
To: Mawar Merah

Assalamualaikum w.b.t.
Ke hadapan gadis desa yang berjiwa sasa, si Mawar Merah. Moga dirimu, ibumu dan adik-adikmu sihat sentiasa di bawah jagaan-Nya yang Maha Perkasa. Maaf andai kiriman e-mail ini mengganggu lena malammu. Namun ana punya hasrat untuk dikongsi berdua. Hasrat yang terbuku sekian lama. Adinda Mawar tentu mengerti bahawa telah hampir setahun kita berkongsi rasa dan idea, untuk membina Mahligai Bahagia. Mahligai yang dipasak tiangnya dengan madah cinta, yang diukir dindingnya dengan senyuman rela, yang dialas lantainya dengan bujukan manja, yang terbina hanya untuk si jantung jiwa. Ana rasa inilah masanya sementelah ana sudah sebulan berada di bumi Malaysia tercinta. Ana sudah bersedia. Nantikan rombongan merisik khabar dari famili ana Isnin depan yer...moga Mawar juga bersedia. Syukran. W’slm.

Neerza kaku. Acap kali dia cuba berkata-kata namun Aqmar sering tidak percaya. Bagi Aqmar kemiskinan Neerza bukan penghalang, keterbatasan Neerza cuma bayangan. Inbox dibuka.

Re: Tidak Sempurna Rupa                   *Mon, Aug 23, 2010 11:02:33  AM
From: Aqmar
To: Mawar Merah

W’slm..
Benarkah begitu? Atau cuma gurauan palsu buat menguji ikhlas di hatiku? =) Ana mungkin percaya. Namun apa yang lebih penting hanya taqwa. Ibarat kisah Tsabit bin Ibrahim di kota Kufah, ayahanda Imam Abu Hanifah itu bukan? Dia sanggup menikahi wanita yang dikatakan lumpuh, bisu, buta dan tuli kerna keyakinan yang tinggi. Sedangkan ibrahnya berbeza, diibaratkan bisu kerana mulutnya hanya menyebut asma’ Allah, diibaratkan buta kerana matanya tidak melihat perkara diharamkan Allah, diibaratkan tuli kerana telinganya hanya mendengar perkara benar yang diredhai Allah dan diibaratkan lumpuh kerana kakinya tidak menuju ke tempat yang dimurkai Allah. Mawar mungkin jua seindah itu. Ana tahu.

From: Mawar Merah
To: Aqmar
Sent: Monday, August 23, 2010 10.53 AM
Subject: Tidak Sempurna Rupa

Assalamualaikum w.b.t.
Aqmar..enta perlu tahu. Mawar tidak sempurna rupa, zahirku lumpuh semua, tiada upaya mengurus segala. Cuma kasih-Nya masih bersama, diturunkuan ilham jua idea, malah jariku masih bisa mencoret kata.

12.10 malam. Dalam diam Neerza terus buntu dan membatu. Dia hanya berserah kepada kekuatan dan keikhlasan cinta Aqmar yang sering berfalsafah bahawa cinta sejati tetap utuh berpaksikan redha Yang Esa, tanpa memandang rupa dan harta.

*****
     Pelangi menyanyi budak-budak berlari. Di petang nan permai, rombongan lamaran pihak lelaki akhirnya tiba dan disambut penuh mesra. Namun, sebaik Neerza muncul di hadapan mata, semua memandang tidak percaya. Neerza yang muncul bersahaja dengan berkerusi roda ternyata menebak minda semua. Lahirnya tidak sempurna rupa, zahirnya lumpuh semua, tiada upaya mengurus segala. Neerza ditakdirkan lumpuh sejak menghidap demam kuning pada awal kelahirannya. Akibatnya, dia tidak mampu berdiri tegak, tidak mampu berpaling dan mendongak serta tidak mampu pantas bergerak. Nasib mindanya cukup tajam dan jemarinya cukup sifat bagi membolehkan dia bergelar penulis yang hebat. Kini giliran Aqmar diam membatu. Dia buntu. Bayangan yang dianggap gurauan sebenarnya bukan khayalan tapi satu kenyatan.

*****
     Pasca peristiwa itu, Neerza terlalu kecewa dengan penolakan Aqmar walhal kedua ibu bapanya, Bilal Hasyim & Mak Gayah tidak pernah menghalang perhubungan mereka. Neerza malu. Ternyata Aqmar tidak cukup hebat untuk redha dengan hakikat kejadian insan sekerdil dan selemah dirinya. Ombak rindu pun membadai jiwa. Neerza juga yang merana. Mata melihat tak bercahaya, mulut menyebut tak bersuara, telinga mendengar tak berdaya. Dibelek semula puisi lamanya, tertera seuntai janji daripada si dia.

Berjanjilah kasih..
hubungan kita yang terbina kerana kasih pada-Nya
takkan terhalang oleh tembok minda manusia
takkan hilang dek api yang menjulang
takkan sirna kerna kabus yang kelam
tetapi hanyakan musnah oleh kerana hati yang hitam!

     Mahligai Bahagia tidak terbina sebaliknya dia yang rasa terhina. Hati yang suci mula ditumbuhi benci, membentak akan takdir Ilahi. Sikap Neerza yang sopan mula berubah dan memberontak, sabarnya hilang memunculkan dendam. Seruan emak disahut sambil lewa, berkurung di kamar setiap masa. Makan minum tidak terjaga, kata-kata dihambur penuh berbisa. Malah dia pernah cuba bertindak mengelar urat nadi sendiri kerna tidak sabar untuk mati. Sayang sekali atmanya tidak tahan diuji. Jelas bahawa Neerza si gadis solehah telah kalah dengan mainan cinta dan Aqmar si jejaka alim telah tewas dengan mainan rasa. Plot yang sama cuma watak yang berbeza. Inilah kisah ‘Tarian Tempang Si Gadis Desa’ nukilan Mawar Merah, gadis genit yang kian tempang jiwa dan raga.

Tuesday, September 13, 2011

Tagline Blog Terbaik 2011

      Aksara Cinta Ilahi: tinta hamba..menuju Yang Esa - begitulah pemilihan tagline yang telah digunakan laman ini sejak 2 tahun yang lalu. Pemilihan tagline yang baik bagi sesuatu laman adalah penting dalam menarik perhatian pembaca, sekaligus memberi gambaran awal kepada mereka terhadap apakah sebenarnya konsep dan intipati sesebuah laman blog tersebut. Bagi penulis, tagline ini dipilih kerana aksara (huruf-huruf) penulisan di laman ini diharap dapat memimpin hati dia dan mereka dalam menuju redha Sang Pencipta. Dengan idea dan ilham jiwa daripada seorang penulis muda, laman ini banyak berkongsi mengenai hal ehwal agama, politik semasa, puisi dan cerpen Islamik mahupun diari peribadi penulis sendiri.

       Siapa sangka, percubaan penulis untuk menghantar tagline ini dalam contest 'Undian Tagline Blog Terbaik 2011' anjuran komuniti.2dayblogger.com baru-baru ini membuahkan hasil. Buat makluman semua, ini merupakan penyertaan pertama penulis dalam contest berasaskan 'votes' dan 'likes'. Alhamdulillah, kemenangan di tempat pertama ini membolehkan penulis menerima wang tunai berjumlah RM50.

       
       Maka, di ruangan ini penulis ingin mengalungkan setinggi penghargaan dan tahniah buat semua rakan-rakan blogger di dunia maya mahupun rakan-rakan di dunia sebenar yang telah membantu untuk mengundi penulis selama hampir sebulan ini. Khas buatmu jua - kerna tanpa usahamu tempat pertama tentu bukan menjadi milikku. TQ..Syukran..Terima Kasih buat semua =)

Friday, September 09, 2011

Bekalan Dalam Perjalanan

    Ritma kehidupan tidak pernah sunyi daripada perjalanan penuh rintangan sebelum tiba ke destinasi impian. Kerna hakikatnya kita insan, singgah di dunia untuk mencari secebis bekalan. Setelah siap segala persediaan, kita akan berkembara pulang.

      Begitu jua aku anak desa yang menuntut ilmu di rantauan. Setelah lama berehat panjang, kini perjuangan harus diteruskan. Segala bekalan telah siap siaga untuk bertahan hidup di tempat orang. Set minda, jiwa dan tenaga kian diperkuatkan. Tidak dilupa segala persiapan diri, ubat-ubatan serta bekalan makanan.

     Tanpa niat untuk berceloteh panjang, di kesempatan ini aku cuma ingin mencuri ruang bagi mengucapkan ribuan terima kasih buat blogger Nini kerana telah memilih karyaku yang berjudul ‘Kejora Timur Milikku: sebuah adaptasi kisah benar’ sebagai pemenang utama bagi contest ‘Jom Tulis Cerpen’ anjurannya baru-baru ini. Alhamdulillah, dengan wang tunai sebanyak RM200 yang diterima menerusi contest itu membolehkan aku memperlengkapkan lagi segala persiapan bagi menyambung pengajian di semester baru ini. Buat rakan-rakan blogger dari UKM Bangi, ada kesempatan cari-carilah hamba di sana nanti. Dapat bertegur sapa dan berbelanja minum pun jadi =)

Monday, September 05, 2011

Sayembara Puisi Dalam Talian: Saguhati

Pada pertengahan Mei yang lalu, penulis telah menyertai Sayembara Puisi Dalam Talian sempena Hari Belia Negara 2011. Sayembara Penulisan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini telah dibuka kepada seluruh warganegara Malaysia yang berumur antara 16 hingga 40 tahun. Penulis telah mempertaruhkan puisi berjudul ‘Aksara Pemuda’ yang bertemakan belia dan 1Malaysia sepertimana disyaratkan oleh penganjur. Mungkin kerana penyertaan yang ramai menyebabkan pihak penganjur mengambil masa selama 3 bulan untuk mengeluarkan keputusan, biarpun sebelumnya menjanjikan bahawa keputusan akan diketahui selewatnya dalam tempoh sebulan cuma. Alhamdulillah, penantian tersebut ternyata berbaloi. Penulis berjaya membolot salah satu daripada lima hadiah saguhati yang ditawarkan. Pemilihan ini membolehkan penulis membawa pulang wang tunai RM200 dan set buku daripada DBP. Karya para pemenang juga mungkin diterbitkan semula oleh penganjur dalam bentuk buku mahupun secara atas talian.


AKSARA PEMUDA

Alif Ba Ta…
dulu engkau mengeja makna keilmuan
dulu engkau diajar membina perpaduan
dulu engkau membaca kamus pentadbiran
dulu engkau diasuh menegak kebenaran
demi kemerdekaan..

Satu Dua Tiga…
kini engkau mengira detik perubahan
kini engkau menghitung nilai kekayaan
kini engkau menokok arca kebanggaan
kini engkau menyeka dakyah permusuhan
demi kemodenan..

Duhai pemuda!
jika hendak mencipta jaya
dikau harus mengorban usia
jika hendak menjadi pencinta
dikau harus menelan duka..

Di manakah dukamu?
dukamu adalah kisah 69 (tragedi 13 Mei)
dukamu adalah resah pengangguran
dukamu adalah mehnah kemaksiatan
dukamu adalah wadah kejahilan
atmamu kekosongan..

Diamlah!
Kendala pengalaman mengguyur harapan

Ayuh pemuda satu bangsa satu negara!
berkongsi rasa jua suara
berkongsi masa jua idea
berkongsi tinta jua media
berkongsi bahasa jua budaya
demi 1 Malaysia tercinta..