Hidup-Hidup Mahasiswa!!
Setiap kali tibanya musim pilihan raya umum atau negeri, diri ini mulalah terkenang pengalaman lalu bergelar pemimpin pelajar di alam kampus. Mengimbau kisah lama, pengalaman kepimpinan saya dilentur sejak zaman persekolahan menengah lagi tatkala dilantik sebagai Timbalan Exco Biro Kebajikan, Badan Wakil Pelajar (BWP) MRSM Jasin. Namun begitu, ianya cuma jawatan lantikan kerana hanya jawatan Ketua Exco yang dipertandingkan melalui Pilihan Raya Maktab pada ketika itu.
Pengalaman julung kali saya menyertai Pilihan Raya Kampus bermula semasa melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Islam Melaka, di mana saya menjadi Calon A1 untuk merebut jawatan Yang Di-Pertua (YDP) Persatuan Siswa-Siswi Fakulti Pengajian Islam (kemudiannya dinaiktaraf sebagai Akademi Pengajian Islam). Selepas lebih seminggu tempoh berkempen, saya yang ketika itu bertanding "1 by 1" dengan seorang lagi calon yang lebih senior, berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih 70% undi. Alhamdulillah.
[PILIHAN RAYA KAMPUS UKM BANGI]
Bertitik-tolak dari pengalaman lalu, saya sekali lagi tidak menolak apabila ditawarkan bertanding sebagai salah seorang calon bagi kerusi Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK) dalam Pilihan Raya Kampus UKM Sesi 2012/2013. Menariknya, persaingan di peringkat universiti awam pada ketika itu lebih mencabar kerana melibatkan dua proksi berbeza; satu dianggap pro-Kerajaan (Aspirasi) dan di sudut satu lagi dianggap pro-Pembangkang (GMUKM). Secara jujurnya, proksi pro-Pembangkang ketika itu hanya mampu bersaing hebat di tiga (3) buah universiti utama; UM, UIA dan UKM. Sebagai info, kerajaan Malaysia pada waktu ini dipegang oleh parti BN, manakala komposisi pembangkang diwakili parti PAS, PKR dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat.
[UJIAN CALON PRO-PEMBANGKANG]
Sebagai salah seorang calon di bawah Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) yang dianggap pro-Pembangkang, pelbagai mehnah ujian yang saya beserta rakan-rakan seperjuangan hadapi, terutamanya ketika menanti detik penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen. Ada antaranya pernah menjadi sorotan media-media alternatif.
#UGUTAN BUNUH
Cabaran sebagai calon pembangkang tidak mudah. Ada portal berita pro-Kerajaan melaporkan saya sebagai seorang calon yang anti-establishment hanya disebabkan lokasi kediaman saya di kampung adalah bersebelahan dengan markas PAS. Malah, saya juga pernah didekati tiga (3) orang tidak dikenali (dipercayai anggota SB) yang memberi beberapa kata ugutan, sambil menunjukkan sepucuk pistol sehari sebelum hari penamaan calon. Kejadiaan ini berlaku dalam kawasan kampus berhampiran Pusanika UKM. Mereka sangka amaran dan ugutan demikian mampu melemahkan semangat kami untuk menarik diri daripada terus bertanding. Ada juga calon yang diugut melalui ibu-bapa mereka di kampung, seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini:-
Pro-M UKM Dakwa Calon Terima Ugutan Bunuh
#FITNAH PERTUBUHAN HARAM
Selain itu, dalam kalangan pengundi warga kampus pula, pelbagai usaha dan fitnah telah dilemparkan terhadap calon-calon GMUKM agar tidak mendapat sokongan mereka. Sebenarnya, doktrin menakutkan pengundi terhadap GMUKM ini telah bermula sejak pelajar junior berdaftar dan menyertai Minggu Orientasi lagi. Pelbagai label negatif dipadankan bukan sahaja terhadap idealisme GMUKM, malah pimpinan dan ahli-ahli mereka. Perkara ini pernah dijawab oleh bekas Speaker PMUKM Sesi 2012/2013:-
Benarkah GMUKM Itu Haram? Lihatlah Pula Siapa Ahlinya.
Namun begitu, meskipun menerima pelbagai ugutan dan fitnah, GMUKM berjaya sekali lagi menawan PMUKM (mengulangi pencapaian tahun sebelumnya) apabila berjaya memenangi 18 daripada keseluruhan 27 kerusi (Fakulti dan Umum) yang dipertandingkan pada Sesi 2012/2013. Untuk memahami lebih lanjut berkenaan GMUKM dan merasa sendiri aura Pilihan Raya Kampus yang cukup hangat pada masa itu, bolehlah menonton video-video berikut:-
[PEMERINTAHAN PMUKM SESI 2012/2013]
Mengikut struktur pemerintahan PMUKM, selain menang majoriti besar sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) FSSK (Tahun 3), saya juga telah dilantik sebagai Pengerusi Biro Pembangunan Mahasiswa UKM, dengan dibantu oleh seorang Timbalan Pengerusi dan 2 orang ahli biro yang lain.
GMUKM Sokong Kepimpinan PMUKM 2012/2013
Antara misi utama Biro Pembangunan Mahasiswa adalah untuk memupuk semangat pembudayaan ilmu dalam kalangan warga kampus, di samping meningkatkan kefahaman mereka berkenaan fungsi dan peranan mahasiswa dalam pembangunan sosial dan negara bangsa. Berikut disertakan sumber berita penganjuran beberapa siri program yang berjaya memberi impak buat mahasiswa UKM pada masa tersebut:-
Timbalan Menteri Sokong Usaha Pembudayaan Ilmu PMUKM
PMUKM Pupuk Semangat Intelektual Mahasiswa
Demikianlah serba ringkas coretan pengalaman saya sebagai pemimpin pelajar dan mahasiswa, sesuai dengan minat saya sebagai seorang graduan undang-undang dan sains politik. Hanya selepas lebih sedekad baru saya berkesempatan untuk berkongsi cerita di laman peribadi ini, sebelum ianya pudar dalam ingatan yang makin dimamah usia.
[Ber-GM Lebih Baik] [Moving Forward]
