Masihkah kau ingat budaya bangsa warisan dahulu?
watak kita orang timur punyai sifat malu
sopan dan budi menjadi satu..
Berkelahi cara Melayu menikam dengan pantun
menyanggah dengan senyum
marahnya dalam diam
merendah bukan menyembah
meninggi bukan mendongak..
Masihkah kau ingat kisah penjajah waktu itu?
watak mereka orang barat punyai sifat melulu
sabar dan jujur tidak bersatu..
Berperang cara mereka semuanya musnah
budaya bangsa menjadi punah
anasir perosak mula menjarah
anak watan bertambah susah
hidup merempat di bawah tanah
31 Ogos 1957
Jalur berbelang megah kita julang
laungan merdeka gah berkumandang
maju negara dengan perpaduan
menuju Malaysia yang lebih gemilang
31 Ogos 2012
Kata merdeka kini disalah erti
demi mencari kebebasan sendiri
anak bangsa sudah hilang jati diri
Melayu dan lupa kian sebati di hati
Di manakah akhlaknya?
di manakah pedomannya?
mengapa gundah jiwanya?
mengapa gugur imannya?
Bangkitlah duhai anak merdeka
bangunkan semangat nan membara..
Kerana watak kita mencorakkan pentas dunia
watak kita penebus maruah agama
watak kita cerminan negara bunga raya
watak kita penentu kemerdekaan terbela