“Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu aku tenung berkali-kali. Bermula dari sebuah kebetulan, berakhir dengan seberkas harapan. Tiada kusangka tindakan jujur mencari teman ukhwahfillah di segmen ‘Sembang Pagi IKIM.fm’ itu menemukanku dengannya. Lebih tidak kuduga wanita ini rupa-rupanya siswi satu kolej denganku, malah satu fakulti dan satu kursus pengajian! Bezanya dia sudah berada di semester akhir sedang aku baru di semester tiga. Tidak hairanlah umurnya lebih tua dua tahun daripadaku. “Aah..itu bukan masalah besar. Lebih usia tentu lebih matang dan gantang!” usik hatiku.
Keikhlasannya untuk membantuku dalam pengajian membawa kepada pertemuan pertama kami petang ini. Kafeteria pelajar tempat dituju. Setibanya di sana mataku terus menangkap sesusuk tubuh berjubah hijau berkelebung labuh paras dada. Sopan santun dan tunduk malunya saat menghulurkan bungkusan nota itu benar-benar menggoncang nurani. Sungguh. Terasa bagaikan ada titisan embun sejuk membasahi relung hati, asyik dan mendamaikan. Dalam diam aku terfikir sejenak, “Ohh..dari manakah bidadari ini muncul? Aku benar-benar tidak pernah melihatnya sebelum ini.” Cuma setahuku dia adalah salah seorang exco kepimpinan pelajar di fakultas kami.
“Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu kutenung sekali lagi. Mungkinkah pertemuan tadi membulatkan tekadnya untuk berterus-terang. Sememangnya selama ini aku seakan tertarik dengan gaya bahasa dan lenggok tutur katannya saat berhujah dan berbincang, walaupun sekadar di skrin ‘handphone’ cuma. Jika dihitung sudah hampir sebulan kami berinteraksi sebegitu, berbahas tentang pelbagai isu semasa dan soal pelajaran. Agak jarang kami bercakap dan bersoalkan hal peribadi masing-masing.
Tiada kata yang mengungkapkan tanya
tiada bahasa yang menjelaskan jawapan
namun rahsia di hati memang sukar dilindung
bila wajah jiwa mula berlagu ceria
biar diam berbicara
jalinan kasih anugerah-Nya
tetap terbuka..
Tidak kuduga bait-bait puisi yang kubina dibalas tenang olehnya..“Ana sudah lama menyukai enta!”
*****
“Mengapa sayang? Kenapa?! Mengapa baru sekarang kau luahkan segalanya? Kenapa kesucianmu itu hanyalah palsu?! Aah..bagaimana begini?” hatiku meradang saat mendengar bicaranya tika itu. Benakku kabut, nafasku susut. Aliran jernih di pipinya langsung tidak mendatangkan simpatiku. Aku dilema. Dialah wanita yang kudamba selama ini, yang kurasakan bisa bersamaku membina mahligai firdausi, jua famili insani. Dialah insan yang kuharap menjadi pelengkap hidupku, jua ibu kepada anak-anakku. Setelah dia membangkitkan semangatku sehingga muncul ‘top student’ di sini, setelah dia merangsang kepimpinanku sehingga mengepalai persatuan pelajar di sini, kini dia menguji keikhlasan dan kematanganku sehebat ini. Bisakah begini?
*****
Dalam kedinginan petang itu, saat sang hujan mengorbankan diri menlencuni Bumi, seorang wanita tertidur sendirian seusai menunaikan solat fardhu Asar. Mungkin agak kelelahan setelah seharian menguruskan majlis pertunangan sepupunya tengahari tadi. Tiba-tiba, ‘Kreeeek!..’ kedengaran daun pintu biliknya dikuak. Bilik itu ternyata terpisah dengan ruang utama rumah kampung yang agak luas itu, jauh dari hingar-bingar orang ramai. Wanita tersebut langsung tidak menyedari derapan kaki si penceroboh. Dia langsung membiarkan dirinya diusik dan disentuh lembut oleh si jantan rakus. Sebaik tersedar, dia tersentak melihatkan kain batik yang melilit pinggangnya telah terlondeh. Aah..dia sudah tidak kuat untuk menghalang, apa lagi mahu melawan. Wanita tulus berkulit mulus akhirnya sama-sama hanyut dalam dunia kenikmatan, menghempaskan mahkotanya pecah berderai!
*****
Di penjuru kamar, aku menangis sendirian. ‘Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tiada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan!..’ Untaian hikmah ini hadir di fikiran seperti mahu aku memaafkan dia yang berdosa, seolah-olah mahu emosiku tenang menghadapi dugaan tercipta. Segala suka duka perkenalan kami semenjak dua tahun lalu kembali terimbau di ingatan. Walaupun satu fakulti, ternyata kami mampu menyembunyikan hubungan dari pengetahuan rakan-rakan dan para pensyarah. Tiada istilah ‘dating’ dalam hidup kami, tiada fitnah dunia yang bisa mengganggu keberkatan cinta kami.
Buku ‘Bertaubat Kepada Allah’ tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi itu kucapai dan kubelek kembali. Panjang lebar ulama kontemporari ini membahaskan persoalan ayat ke 26 surah an-Nur: ‘Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)..’ Adakah harus aku memilih perempuan yang tidak suci? Apakah pula yang dikatakan suci itu? Bagaimana jika mereka telah bertaubat dengan seperinya, taubatun nasuha? Aku memang tidak menyalahkannya atas apa yang berlaku. Aku membuka ruang perbincangan sepertimana lazimnya kami berbincang soal pelajaran dan isu-isu semasa. Malah aku pernah menghubungi Zaini, sepupunya yang telah menjamah isi tubuhnya itu! Aah..Zaini ternyata hanyut dengan hidupnya yang tak pernah puas melayan nafsu tanpa rasa malu dan bersalah. Walaupun menuntut dalam jurusan agama di sebuah kolej swasta sebelah pantai timur dan mendalami ilmu-ilmu persilatan Melayu yang gah dengan Islamnya, namun benar hidayah petunjuk hanya milik Yang Maha Esa. Ilmu tanpa amal tidak menjamin ketaqwaan. Inilah ritmanya. Aku juga pernah menumbuk dinding setelah dihalang dari menumbuk kaca tingkap oleh rakan sekamarku. Mungkin saat itu aku benar-benar kecewa dan buntu, emosi yang terganggu memudahkan syaitan datang mengganggu. Namun begitu, sebenarnya jauh di sudut hati, aku masih yakin bahawa dia adalah wanita suci di sisi Ilahi walaupun kotor di sisi insani. Lantas kugapai diari, kucatat tinta hidupku ini...
Definisi Cinta Sejati (True Meaning Of Love):
"Cinta yang sejati &a suci tidak memerlukan 'physical contact' yang boleh merosakkannya, sebaliknya ia terbina atas dasar iman, CINTA ILAHI..bermatlamat yang murni & benar, untuk menjadi pasangan yang sah..serta melalui jalan2 yang tidak melanggar undang2 syariat, walaupun ia mungkin hanya bertaut di dasar hati!.."
*****
Dalam sujud di sepertiga malam, aku berseru dan mengadu. “Ya Allah..Berikanlah petunjuk pada hambamu yang hina ini. Berikan aku kekuatan untuk merungkai dilema ini. Jika memang dia yang terbaik untukku, kau satukanlah hatiku dengan hatinya. Jika tidak, engkau redhakanlah aku atas tiap ketentuan-Mu..” Aku pasrah. Aku berserah. Aku bangun menyingkap jendela, kulihat dunia, kubersyukur pada-Nya. Kejora timur itu masih menari-nari menghiburkan sanubari. Senyumanku terukir sendiri. Aku yakin, inilah petunjuk Ilahi!
(Versi kemaskini: Cerpen - Tarian Kejora Timur)