Sunday, July 31, 2011

Jom Tulis Cerpen

‘KEJORA TIMUR MILIKKU’
(sebuah adaptasi kisah benar)

Dingin malam mencengkam sendi tulang. Purnama terang membias kelam malam. Di sudut jendela, aku terpamit melihat kejora di sebelah timur itu. Cahayanya persis menari-nari menghiburkan sanubari. Senyumanku terukir sendiri.

         “Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu aku tenung berkali-kali. Bermula dari sebuah kebetulan, berakhir dengan seberkas harapan. Tiada kusangka tindakan jujur  mencari teman ukhwahfillah di segmen ‘Sembang Pagi IKIM.fm’ itu menemukanku dengannya. Lebih tidak kuduga wanita ini rupa-rupanya siswi satu kolej denganku, malah satu fakulti dan satu kursus pengajian. Bezanya dia sudah berada di semester akhir sedang aku baru di semester tiga. Tidak hairanlah umurnya lebih tua dua tahun daripadaku. “Aah..itu bukan masalah besar. Lebih usia tentu lebih matang dan gantang!” usik hatiku.

         Keikhlasannya membantuku dalam pengajian membawa kepada pertemuan pertama kami petang tadi. Kafeteria pelajar tempat dituju. Setibanya di sana, mataku terus menangkap sesusuk tubuh berjubah hijau berkelebung labuh paras dada. Sopan santun dan tunduk malunya saat menghulurkan cebisan nota itu benar-benar menggoncang nurani. Sungguh. Terasa bagaikan ada titisan embun sejuk membasahi relung hati, asyik dan mendamaikan. Ohh..dari manakah bidadari ini muncul? Aku benar-benar tidak pernah melihatnya sebelum ini. Cuma setahuku dia adalah salah seorang exco kepimpinan pelajar di fakultas kami.

     “Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu kutenung berulang kali. Mungkinkah pertemuan tadi membulatkan tekadnya untuk berterus-terang. Sememangnya selama ini aku seakan tertarik dengan gaya bahasa dan lenggok tutur katannya saat berhujah dan berbincang, walaupun sekadar di skrin ‘handphone’ cuma. Jika dihitung sudah hampir sepurnama kami berinteraksi sebegitu, berbahas tentang pelbagai isu. Namun, agak jarang kami berbual dan bersoalkan hal peribadi masing-masing.

Tiada kata yang mengungkapkan tanya
Tiada bahasa yang menjelaskan jawapan
Namun rahsia di hati memang sukar dilindung
Bila wajah jiwa mula berlagu ceria
Biar diam berbicara
Jalinan kasih anugerah-Nya
Tetap terbuka..

Tidak kuduga bait-bait puisi yang kubina dibalas tenang olehnya..“Ana sudah lama menyukai enta!”
      *****

“Mengapa sayang? Kenapa?! Mengapa baru sekarang kau luahkan segala? Ternyata kesucianmu itu palsu cuma?!.Aah..bagaimana begini?” hatiku meradang saat mendengar bicaranya tika itu. Benakku kabut, nafasku susut. Aliran jernih di pipinya langsung tidak mendatangkan simpatiku. Aku dilema. Dialah wanita yang kudamba selama ini, yang kurasakan  bisa bersamaku membina mahligai firdausi, jua famili insani untuk sehidup semati. Dialah insan yang kuharap menjadi pelengkap hidupku, jua ibu kepada anak-anakku. Setelah dia membangkitkan semangatku sehingga muncul ‘top student’ di sini, setelah dia merangsang kepimpinanku sehingga mengepalai persatuan pelajar di sini, kini dia menguji keikhlasan dan kematanganku sehebat ini. Bisakah begini?
*****

Dalam kedinginan petang itu, saat sang hujan mengorbankan diri menlencuni bumi, seorang gadis tertidur sendirian seusai menunaikan solat fardhu Asar. Mungkin agak kelelahan setelah seharian menguruskan majlis pertunangan sepupunya, tengahari tadi. Tiba-tiba, ‘Kreeeek!..’ kedengaran daun pintu biliknya dikuak. Kamar itu ternyata terpisah dengan ruang utama rumah kampung yang agak luas, jauh dari hingar-bingar orang ramai. Anak gadis tersebut langsung tidak menyedari derapan kaki si penceroboh. Lantas dia membiarkan dirinya diusik dan disentuh lembut oleh si jantan rakus. Sebaik tersedar, tersentak si gadis melihatkan kain batik yang melilit pinggangnya telah terlondeh. Aah..dia sudah tidak kuat untuk menghalang, apa lagi mahu melawan. Gadis tulus berkulit mulus akhirnya sama-sama hanyut dalam dunia kenikmatan, menghempaskan mahkotanya pecah berderai!
*****

Di penjuru kamar, aku menangis sendirian. ‘Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tiada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan!..’ Untaian hikmah ini hadir di fikiran seperti mahu aku memaafkan dia yang tidak berdosa, seolah-olah mahu emosiku tenang menghadapi dugaan tercipta. Segala suka duka perkenalan kami semenjak dua tahun lalu kembali terimbau di ingatan. Walaupun satu fakulti, ternyata kami mampu menyembunyikan hubungan dari pengetahuan rakan-rakan dan para pensyarah. Tiada istilah ‘dating’ dalam hidup kami, tiada fitnah dunia yang bisa mengganggu keberkatan cinta kami.

Buku ‘Bertaubat Kepada Allah’ tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi itu kucapai dan kubelek kembali. Panjang lebar ulama kontemporari ini membahaskan persoalan ayat ke 26 surah an-Nur: ‘Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)..’ Adakah harus aku memilih wanita yang tidak lagi suci? Apakah pula yang dikatakan suci itu? Bagaimana jika mereka telah bertaubat dengan seperinya, taubatun nasuha? Aku memang tidak menyalahkannya atas apa yang berlaku. Malah aku pernah menghubungi Zaini, sepupunya yang telah menjamah isi tubuhnya itu! Aah..Zaini ternyata hanyut dengan hidupnya yang tak pernah puas melayan nafsu tanpa rasa malu dan bersalah. Walaupun menuntut dalam jurusan agama di sebuah kolej swasta sebelah pantai timur dan mendalami ilmu-ilmu persilatan Melayu yang gah dengan Islamnya, namun benar hidayah petunjuk hanya milik Dia. Dan hakikat cinta perlu berilmu, perlu beramal dan perlu menjamin taqwa. Inilah ritmanya. Pernah aku lalai dan alpa, sehingga menumbuk dinding setelah dihalang dari menumbuk tingkap berkaca. Mungkin saat itu aku benar-benar kecewa dan buntu, emosi yang terganggu memudahkan syaitan datang mengganggu. Namun begitu, sebenarnya jauh di sudut hati, aku masih yakin bahawa dia adalah wanita suci di sisi Ilahi walaupun kotor di sisi insani. Lantas kugapai diari, kucatat tinta hidupku ini...

           True Meaning Of Love: 
"Cinta yang sejati & suci tidak memerlukan 'physical contact' yang boleh merosakkannya, sebaliknya ia terbina atas dasar iman, Cinta Ilahi..bermatlamat yang murni & benar, untuk menjadi pasangan yang sah..serta melalui jalan-jalan yang tidak melanggar undang-undang syariat, walaupun ia mungkin hanya bertaut di dasar hati!.."
*****

Dalam sujud di sepertiga malam, aku berseru dan mengadu. “Ya Allah..Berikanlah petunjuk pada hambamu yang hina ini. Berikan aku kekuatan untuk merungkai dilema ini. Jika memang dia yang terbaik untukku, kau satukanlah hatiku dengan hatinya. Jika tidak, engkau redhakanlah aku atas tiap ketentuan-Mu..” Aku pasrah. Aku berserah. Monologku berarah:

Inikan cinta, bertemu dan bersatu tanpa keduanya tahu.
Inikan cinta, tenang di hati tersenyum sendiri.
Inikan cinta, tidak ribut tidak menunjuk untuk hidup.
Inikan cinta, tak perlu bicara namun tetap dirasa.
Inikan cinta, tangis tiba sebelum ketawa ria.
Inikan cinta, sejarah lama kita terima.
Inikan cinta, ilmu dan amal jadi pembela.

Aku bangun menyingkap jendela, kulihat dunia, kubersyukur pada-Nya. Kejora timur itu masih menari-nari menghiburkan sanubari. Senyumanku terukir sendiri. Aku yakin, inilah petunjuk Ilahi, memberi makna cinta sejati.


p/s: Cerpen di atas adalah untuk penyertaan bagi contest 'Jom Tulis Cerpen' anjuran laman blog Bila Jemariku Menari. Kepada mana-mana blogger yang punya bakat menulis, ayuh sama-sama kita memeriahkan contest ini. Tarikh tutup penyertaan pada 1 Ogos 2011. Harap Maklum.

Thursday, July 28, 2011

Aku & 24 Hours l.i.a_d.i.y

24 Jam: Pesan Buat Khalifah

24 jam kau punya emosi
kadang suka kadang duka
kadang tawa kadang hiba
tetap dengan dosa

24 jam kau punya hati
kadang setia kadang alpa
kadang cakna kadang leka
tetap dengan dosa

24 jam kau punya akli
kadang bisa kadang lupa
kadang tega kadang fana
tetap dengan dosa

24 jam kau punya waktu,
tetap jua begitu

Suka bila membenci
duka bila diuji
tawa bila mencaci
hiba bila dikeji

Setia berbuat khianat
alpa mendirikan solat
cakna dengan mengumpat
leka menutup aurat

Bisa mencongak harta
lupa jasa bonda
tega mendongak bangga
fana dengan dunia


Waspadalah duhai khalifah..

Aksara hidup bermula dengan senyuman namun berakhir dengan ratap tangisan. Kita khalifah, hanya 24 jam yang memisahkan antara ada dan tiada usia kurniaan Tuhan. Saat berganti minit berganti jam berganti hari telah mencetak takwim tahunan. Lariannya tanpa sebarang pesan, hanya meninggalkan tanda amaran. Cerminan wajah dengan raut nan kusam jelas membuktikan bahawa 24 jam ini hanya pinjaman. Sedetik berlalu selangkah kematian bertamu. 24 jam berlari menuju mati ke destinasi abadi. Semakin hari semakin meningkat usia semakin pendek umur berbaki. Inilah wajah usia, wajah 24 jam.

24 jam tidak berbangga dengan banyaknya kiraan atau lamanya kehidupan. 24 jam cuma berbahgia dengan tingginya ilmu dan banyaknya amalan, jua dengan siraman budi serta taburan jasa. As-Syafie membuktikan, berbekal hidup cuma setengah abad, kitabnya al-Umm bertahan beratus abad. Jasadnya mungkin reput berlapikkan tanah namun 24 jam miliknya masih basah mengalir, selagi Bumi bertiangkan langit dan bertongkatkan bukit. 24 jam itu milik kita, milik khalifah yang mencari barakah. Awas, 24 jam khalifah sedang marah!


p/s: Catatan ini merupakan entry penyertaan bagi contest 'Aku & 24 Hours' anjuran blogger Pengemis CintaSemoga catatan ringkas ini dapat memberi renungan buat semua yang bergelar Khalifah Allah. Buat rakan-rakan blogger yang berminat, boleh turut serta memeriahkan contest sebelum tarikh tutup pada 1 Ramadhan ini.

Monday, July 25, 2011

Nilai Cinta RM100

Setelah sekian lama tidak menyertai contest anjuran rakan-rakan blogger, Alhamdulillah penyertaan bagi contest ‘Definisi Cinta’ pada penghujung Mei yang lalu membuahkan hasil. Walaupun dengan penyertaan lebih kurang 60 blogger lain yang turut memeriahkan contest berkenaan, tulisan penulis yang memfokuskan pada cinta insan dalam menuju keredhaan Tuhan dilihat berjaya menarik perhatian miszpathetic untuk dipilih sebagai pemenang utama. Komen beliau:

“..i'm reading this while listening to muhasabah cinta by edcoustic,,,
my eyes crying while my heart praising Allah…,


Dengan ini penulis telah menerima tunai RM100 daripada pihak penganjur. Terima Kasih tidak terhingga. Tidak dilupakan juga kalungan Tahniah kepada kesemua peserta yang telah sama-sama berkongsi idea dan menjana kreativiti yang tersendiri. Buat rakan-rakan blogger dan pelawat laman ini yang telah mencoretkan kata-kata semangat serta secebis doa kejayaan di ruangan komen entry yang berkenaan, penulis ucapkan syukran. =)

Thursday, July 14, 2011

Zikir Buat Si Fakir

Berzikir maksudnya mengingati Allah. Yang dimaksudkan zikir di sini ialah zikir-zikir khusus seperti ‘subhanallah’, ‘alhamdulillah’, ‘astaghfirullah’ ataupun ayat-ayat al-Quran. Syaratnya ialah zikir ini bukan sekadar di mulut sahaja, tetapi dihayati maksudnya di dalam hati. Contohnya apabila membaca ‘subhanallah’, hati pun terasa Allah itu sungguh sempurna dan tidak langsung ada sebarang cacat celanya. Akan timbul pula rasa mengagungkan-Nya, menyanjung-Nya dan sekaligus kita ingin sekali menghambakan diri kepada-Nya. Contoh lain ialah apabila membaca ‘astaghfirullah’, kita terkenangkan dosa-dosa kita yang terlampau banyak seterusnya berasa kesal dan segera bertaubat.

Pada suatu ketika, segolongan sahabat telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. seperti disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim:“Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (orang-orang kaya) telah mendapat pahala (lebih banyak daripada kami). Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka."

Bersabda Rasulullah: “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu suatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan tiap-tiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan makruf itu sedekah, dan melarang dari yang mungkar itu sedekah, dan pada kemaluan seorang kamu itu pun sedekah.” Inilah penjelasan Rasulullah kepada orang-orang fakir dari golongan Muhajirin yang sebelumnya telah menggelisah oleh kekurangan pahala bersedekah, sedang orang-orang kaya telah beruntung dengan penambahannya dari hasil sedekah dengan harta benda mereka.

Antara hikmah berzikir ialah dapat membersihkan hati, jiwa dan roh kotor yang berselaput dalam diri selain mengingatkan kembali perkara yang kita lupa serta mendapatkan ganjaran dari-Nya. Dengan ini, marilah kita perbanyakkan zikrullah kerana ia salah satu cara yang paling mudah untuk beribadah. Setiap masa dan dimana saja kita boleh berzikir.

(by qamarguyz: risalah al-Qamar edisi 5)

Monday, July 11, 2011

11/7: Puisi Buatku


Saat berlari tanpa pesan
beza wajah wasilah insan
umur ini cuma pinjaman
harum buana itulah tujuan

Aksara hidup beralas senyuman
akhir ditadah dengan tangisan 
hilang usia itulah ingatan
moga kau tak lupa janji Tuhan

Tawa semalam tinggal kenangan
khabar esok hanya impian
tika inilah detik ujian
moga indah debu jalanan

Di hari lahirmu..

Kunyayikan puisi rindu
tanda kasih sepanjang waktu
biar dipisah jarak beribu
frasa jannah hadiah buatmu

Allah selamatkan kamu!..

Friday, July 08, 2011

Contest drsitihamidah.com

Cerpen: Bungkusan Hati Seorang Lelaki
Sebuah adaptasi kisah benar..

Nasib anak lelaki tunggal umpama duri di haruman kasturi. Masam manis masa kecil terpaksa dilalui sendiri. Itulah aku. Malu menghias peribadi, emosi terbungkus di dalam hati. Ibarat telur bungkus menuku hari ini. Masam manis rasanya tersembunyi jika belum dicuba lagi. Lalu  aku terimbau secangkir memori.

*****

Mainan Perasaan. Nasi lemak adik siap untuk dijual. Tiga ketul batu dan sekepal pasir dibungkus comot dalam helaian Utusan. Sekeping daun kuhulur sebagai bayaran, tanpa mengira enak atau tidak menu jualan. Semalam main emak-emak, hari ini main masak-masak dan esok main pondok-pondok. Masamnya kebosanan.

Alumni di arena persekolahan..kecil-kecil cili api
Sedikit menginjak usia, aku mula menyendiri. Biar basikal dan kerusi menjadi lawan, rangka buaian menjadi gawang, aku menggelecek bola berseorangan. Rembatan yang menerjah gawang membuatkan aku kegirangan. Siapa sangka, bagai latihan di waktu petang aku menjadi wira di atas padang, arena persekolahan. Manisnya kebanggaan.

Selepas matang berdikari, kawan-kawan muncul mengubat sepi. Parit dan longkang jua yang dicari buat menjerat sepat, haruan dan keli. Pernah sepat terisi, penuh setabung biskut Marrie. Dibawa pulang buat tatapan famili, Subuh esoknya semua sepat pun mati. Masamnya kesedihan.

Si manis yang pemalu
*****

Gelaran Kelakian. Abang nama panggilan, Mamat nama gelaran, Era nama seruan. Begitulah panggilan untukku di kampung halaman milik Tok Wan. Berambut panjang, bermuka manis dan berperwatakan malu membuatkan aku menjadi pujaan. Tidak kira kak long atau abang Aiman, aku menjadi bahan mainan dan usikan. Tidakku jelik dengan pelukan, tidakku kisah dengan ciuman, semuanya menjadi hiburan mengubat kesepian. Manisnya kecantikan.

*****

Tangisan Kesakitan. Abah di luar mencari sumber kewangan, emak keluar bersenda ke rumah teman dan aku leka menonton TV sendirian. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan raungan adik dalam kesakitan. Bergegas ke kamar mandi, aku panik sendiri. Kepala adik keduaku menjadi merah, penuh darah melitupi. Ternyata dia terjatuh, kepala terhantuk di bucu kolah. Tangisan dan raungannya membuatkan aku jadi tidak menentu, mati kutu.  Pada siapa aku harus mengadu, tiada siapa hadir membantu. Pada usia sekecil itu, hendak menggunakan telefon pun aku tak tahu. Masamnya ketakutan.

Dalam debar penuh kecemasan, dalam dada ada tangisan, dalam resah tidak keruan, mujur emak pulang bawa penyelesaian. Abah berpesan di hujung talian, agar segera memandu mendapatkan rawatan. Setibanya di Hospital Kemaman, adik segera diberi perhatian. Akhir cerita, adikku derita dengan lapan jahitan sedangkan aku tersenyum kebudakan. Manisnya kelegaan.

*****

Tok Wan bersama si bongsu
Amukan Kehampaan. Pantang ada salah dan silap, aku mengamuk dan memberontak. Di belakang seringkali tali pinggan abah menghinggap, di depan seringkali cubitan emak menyengat. Pernah ditarik rambut sedangkan lantai pun tak terjejak, dihumban masuk ke dalam mesin basuh separa rosak. Semuanya berlaku tika kelahiran adik bongsu, saat aku berharap kehadiran lelaki baru. Teman untuk mengadu, lawan untuk beradu. Sebelum kelahiran si bongsu berlaku, pengesahan doktor belum menentu. Namun, aku berserah pasrah dan membatu, saat lahirnya wanita keenam itu. Aku merajuk tak terpujuk selama berminggu. Masamnya kehampaan.

*****
Nasib anak lelaki tunggal umpama duri di haruman kasturi. Masam manis masa kecil terpaksa dilalui sendiri. Itulah aku. Malu menghias peribadi, emosi terbungkus di dalam hati. Ibarat telur bungkus menuku hari ini. Masam manis rasanya dinikmati tanpa langsung aku sedari. Aku tersenyum sendiri.



p/s: Cerpen di atas merupakan entry penyertaan bagi contest "Memori Yang Tidak Dapat Dilupakan Sewaktu Kecil" anjuran Dr. Siti Hamidah. Terima kasih buat blogger ratuzuleyqha dan kotakbeg kerana sudi 'tag' penulis untuk turut sama memeriahkan contest ini. Bagi memenuhi syarat contest, sukacitanya saya menjemput blogger FarahLee, Mijie dan  Tok Esah untuk turut serta.

Tuesday, July 05, 2011

BERSIH2.0: Suara Kami..



Kami studi undang-undang
Kami akur pada perlembagaan
Kami tahu prosedur tangkapan..

Kami studi politik harian
Kami sedar siapa diperalatkan
Kami bukan nak tumbangkan kerajaan..

Kami hanya menuntut keadilan
Kerna kami pewaris zaman!..

Saturday, July 02, 2011

Kempen: "Jom Jadikan Blog Sebagai Medium Dakwah!"


“Jika mereka boleh berkarya, kita juga mampu berpuisi.
Jika mereka boleh menulis, kita juga mampu menaip & jika mereka boleh menyerang, kita juga mampu bertahan serta membalas.”

Namun karya & tulisan yang tersiar bukanlah sekadar omong  kosong,  menghabiskan masa & tenaga, ianya perlu berpandukan kematangan akal fikiran, kesucian hati & ketenangan emosi yang sejati dalam memberi pandangan terbuka, kritikan membina serta berkongsi ilmu mahupun pengalaman.

Dengan mengambil hikmah & semangat kempen anjuran Atika Aula ini, penulis menyeru kepada semua blogger Muslim untuk mengambil ruang & peluang yang terbuka di dunia maya untuk mengorbankan sedikit masa, tenaga & saran idea buat agama yang tercinta. Biarpun dihimpit masa, curilah seminit dua untuk menyebarkan salam. Biarpun dihimpit ruang, ambillah sejengkal dua untuk menyampaikan walau sepatah ayat.  Sebarkan dakwah & tebarkan ukhwah menerusi laman peribadi masing-masing, tanpa mengira genre penulisan yang menjadi pilihan & keutamaan. Laman ini sendiri telah banyak berubah, walaupun pada asalnya hanya berfokus kepada persoalan agama, politik & isu semasa, namun kini ianya dikembangkan kepada pelbagai bentuk & gaya penulisan, sesuai dengan kematangan & golongan sasar yang semakin besar. Akhir kalam, semoga dengan sedikit usaha, ikhtiar & pengorbanan ini dapat sama-sama membawa kita ke arah satu perubahan..semestinya kepada yang lebih baik dalam segenap aspek kehidupan. Semoga kita semua diberkati & mendapat maghfirah dari Yang Esa. 

p/s: syukran kepada blogger mohamadazhan kerana sudi tag penulis untuk mengikuti kempen ini. Bagi memenuhi syarat kempen, di sini juga penulis berbesar hati untuk memilih tiga blogger bertuah untuk turut serta: Budak Hitam..Missgee..Etuza