Wednesday, June 29, 2011

Wordless Wednesday...1

Sunday, June 26, 2011

Tikus & Perangkapnya..

Sepasang suami isteri bergelar petani pulang ke rumah setelah puas berbelanja. Ketika mereka membuka barangan belian, sang tikus memerhati dengan penuh minat sambil menggumam ; "Hmm..makanan apa lagi yang dibawa pulang mereka kali ini?"

Ternyata salah satu barangan yang dibeli adalah perangkap tikus. Sang tikus kaget bukan kepalang. Lantas ia segera berlari menuju ke kandang lembu dan berteriak; "Ada perangkap tikus di rumah! Di rumah sekarang ada perangkap tikus!" Teriakannya dijawab tenang oleh pengisi kandang; "Maafkan aku. Perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali!"

Sang tikus menemui pula seekor kambing sambil berteriak perkara yang sama. Sang kambing pun berkata; “ Tidak ada apa yang bisa aku lakukan.” Kecewa dengan reaksi tersebut, sang tikus lalu mendatangi sekawan ayam dan berteriak; “Ada perangkap tikus!" Sang ayam berkata; "Tuan tikus, kami turut simpati namun hal demikian langsung tidak mempengaruhi kami." Akhirnya sang tikus melarikan diri ke rimba dan bertemu seekor ular berbisa. Sang ular angkuh menjawab "Ahh..perangkap tikus yang kecil tidak akan bisa mencelakai aku!" Akhirnya sang tikus kembali ke rumah dengan pasrah akan ancaman bahaya yang terpaksa dihadipnya sendiri.

Pada suatu malam yang hening, pemilik rumah terbangun sebaik mendengar suara keras perangkap tikusnya berbunyi seakan telah memakan korban. Ketika melihat perangkap tersebut, ternyata rupanya seekor ular berbisa. Buntut ular yang terjerat membuatkannya semakin ganas lalu menyerang isteri si suami. Walaupun si suami sempat membunuh ular tersebut, namun isterinya telah parah terkena patukan. Setelah mendapat rawatan, demamnya tetap berpanjangan.

Lalu si isteri minta dibuatkan sup ceker ayam yang dikatakan bermanfaat bagi mengurangkan demamnya. Lantas si suami dengan segera menyembelih ayam peliharaan untuk dimasak cekernya. Beberapa hari berlalu, sakit demam si isteri tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan agar memakan hati kambing pula. Lalu disembelih kambing yang ada untuk diambil dan dimasak hatinya. Malang tetap jadi penghalang, si isteri tidak juga sembuh-sembuh dan meninggal dunia akhirnya. Ramai sahabat handai dan saudara-mara datang berziarah pada saat pemakaman. Hinggakan si petani harus menyembelih lembu di kandangnya untuk memberi makan orang-orang yang mendatang.

Dari kejauhan…sang tikus menatap dengan penuh kesayuan akan hakikat yang terbentang. Beberapa hari kemudian, ia melihat perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

1..2..3..4..5 ekor baby tikus yang berjaya dijejak olehku..
comel..tapi silap tempat la kalu nak membiak di kamarku!
Motivasi Diri: andai mendengar dia dan mereka dalam kesusahan, usahlah mengira bahawa semuanya bukan urusan kita. Mungkinkah ada asbab, hikmah atau musibah?

Thursday, June 23, 2011

Dua Jenis Manusia Berilmu

Pertama, ilmunya wujud di hati:
Ilmu yang berhubungan dengan makrifat Allah, mengenal Allah dengan segala nama dan sifat-Nya yang suci dan perbuatan-Nya yang rapi untuk mempengaruhi segala fikiran dan perasaan bagi menguatkan keyakinan serta lebih mendalam rasa cinta dan patuh kepada-Nya dengan penuh pengharapan.

Kedua, ilmunya wujud di lidah: 
Ilmu ini dipelajari sebagai satu mata pelajaran yang tidak sampai ke lubuk hati, hanya untuk membuktikan kepandaian lidah dan tidak pula memahami hakikatnya serta tidak diamal dengan sepenuhnya.

Ilmu pertama tadi akan dapat membangkitkan jiwa seseorang untuk membuktikan daya cipta dan usaha dalam bidang amal baik yang menyeluruh  dalam kehidupannya.  Inilah dikatakan ilmu yang bermanfaat. Ilmu ini akan lenyap, hilang dari tuannya bersama kematian. Maka tidak ada yang tinggal lagi kecuali al-Quran yang tertulis di atas halamannya, dibaca ayatnya tetapi tidak ada orang lagi yang hendak mengetahui atau meneliti maknanya dan tidak ada sesiapa yang sudi mengerti pengajarannya dan menilai hukum-hakamnya.

Manakala yang kedua, iaitu ilmu di lidah tetap tinggal menjadi satu kepandaian dan kebijaksanaan lidah sahaja tetapi tidak berdaya memimpin seseorang ke arah amalan yang nyata lagi berguna. Dengan ini jelaslah bahawa ilmu yang memudahkan jalan ke syurga adalah ilmu yang diamalkan untuk maksud yang suci, bukan untuk kesenangan di dunia semata-mata.

(petikan daripada risalah al-Qamar edisi 6 - by qamarguyz)

Monday, June 20, 2011

Hikmah Masa Lampau


"Pandai mengasihi orang itu sebahagian daripada akal,
pandai bertanya itu sebahagian daripada ilmu,
& pandai merancang itu sebahagian daripada sumber rezeki.."
(Saidina Umar)


Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau
& tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan..


Akal itu menteri yang menasihati,
hati itu ialah raja yang menentukan..
Harta pula seorang tamu yang akan berangkat,
& kesenangan itu satu masa yang akan tetap ditinggalkan..


Sungguh benar kita tidak tahu
apa yang kita miliki sehingga kita kehilangannya..
& sungguh benar pula bahawa kita tidak tahu 
apa yang belum pernah kita miliki sehingga kita mendapatkannya..

Thursday, June 16, 2011

Harapan Terakhir Ayah..

Pernahkah kita tanyakan pada ibu ayah tentang harapan mereka buat kita sebelum mereka menutup mata?..mungkin ada yang pernah bertanya (walaupun kebanyakannya agak payah, malu serta ego untuk bertindak sedemikian) atau mungkin ada yang pernah diluahkan sendiri oleh ibu ayah masing-masing... 

"Mereka nak adik berjaya dalam SPM nanti, boleh masuk U dan hidup senang bila dah besar..dapat kerja bagus-bagus!" -misalan jawapan yang acap kali saya dengar atas pengakuan ikhlas adik-adik di bawah bimbingan saya dalam mana-mana program motivasi pelajar.

      Namun apa yang terlukis di minda adalah berbeza..melalui pengalaman, penghayatan & penilaian, saya sedar dan insaf bahawa jauh di sudut hati ibu ayah kita hanya ada satu harapan tersirat buat anak-anak tercinta, agar mereka dapat 'pergi' meninggalkan kita dengan tenang..percayalah, walau siapa pun mereka..walau bagaimana buruk & tersasarnya mereka..harapan itu tetap satu. Sebelum mereka tidak sempat meluahkan, sebelum mereka tidak tahu untuk meluahkan atau sememangnya usia mereka telah berlalu meninggalkan..ada baiknya kita sendiri mencari & berimaginasi..mungkin juga bermimipi...bahawa di dalam kesayuan & kesepian malam itu, di saat kita berkira-berkira mahu beradu & bercanda di alam mimpi..dia hadir..hadirnya dengan usapan mesra diselit bisikan penuh makna..penuh kelainan...

"Anakku..
sebelum ayahmu ini menutup mata
bukan hartamu yang ayah tadah
bukan pandaimu yang ayah banggakan sangat..
cuma satu saja,
agar ayah dapat pergi dengan tenang..
ayah nak tengok kamu mampu hidup berdikari
tanpa ayah di sisi!
tak hanyut dalam fana dunia..tak sesat, tak rugi...
hanya dengan apa kamu boleh selamat? 
Cuma amal & taqwa..

InsyaAllah..
bila ayah yakin dengan amal & taqwamu
ayah percaya DIA akan bantu membimbingmu
menjaga kamu sebagai pengganti ayah..
malah dengan amal & taqwamu juga insyaAllah
kamu dapat temani ayah di alam 'sana' nanti..
ayah tunggu kehadiranmu nak!"

       Yer..inilah sebenarnya harapan terakhir seorang ayah..ibu jua..tidak dinafikan, mereka selalu berharap agar kita berjaya dalam kehidupan ini..setidak-tidaknya menjadi lebih baik daripada mereka..'jika mereka jadi nelayan pesisir pantai, kita jadilah nelayan laut dalam'..begitulah ibaratnya.. Namun tidak kurang juga jenis yang menghitung wang & harta, sebagai balasan..baru berbaloi usaha mendidik dan membesarkan, baru harum nama famili dalam pandangan..tapi itu semua bukan segalanya!

        Selagi darah yang mengalir dalam tubuh kita adalah darah mereka, fitrah keibubapaan pasti tidak pernah luput.. Bukankah selama ini mereka telah berkorban segalanya? ayahlah badut buat kita ketawa..ayahlah pemandu buat kita melancong.. ibulah amah buat kita kenyang..ibulah mak guard buat kita bermalam..semuanya kerana apa? tidak lain hanyalah kerana kasih & sayangnya mereka pada kita..demi keselamatan, demi kebahgiaan, demi kejayaan kita dunia akhirat.. Maka tidak hairanlah betapa keluh-kesahnya ibu ayah apabila memikirkan untung nasib diri kita saat kehilangan mereka nanti..bolehkah kita berdikari? bolehkan kita membawa diri? atau kita dah tak mampu berdiri & jadi lupa diri?!

Monday, June 13, 2011

Ku Berlari..


Jijik! Hina! Keji!
terlalu buaskah nafsuku ini
hingga wajah terus dimaki?

Jijik! Hina! Keji!
terlalu tajamkah lidahku ini
sanggup memfitnah mahar sendiri?

Kini..
baru kusedar kekurangan diri
baru kupandang kemuliaan saudari

Beda kasih jua cinta
bisa memisah dua jiwa
aku dan si ibu
aku dan sang kekasih
aku dan seorang teman

Bersama mata mengguyur sengsara
bersama hati menginsafi dosa
berlari aku mengguntur lara
melangkah aku meninggalkan semua

Huluran maaf sucikan noda
lambaian mesra sirnakan duka
biar tenang di pusara atma
biar tak rebah di pintu neraka

Thursday, June 09, 2011

Bicara Soal Cinta

Cinta yang sejati & suci tidak memerlukan 'physical contact' yang boleh merosakkannya, sebaliknya ia terbina atas dasar iman, CINTA Ilahi, dengan matlamat yang murni dan benar iaitu untuk menjadi pasangan yang sah serta melalui jalan-jalan yang tidak melanggar undang-undang syariat, walaupun ia mungkin hanya bertaut di dasar hati.
    Sebenarnya, bercinta tidak salah melainkan kita sendiri yang menjadikannya salah. Bahkan dapat difahami bahawa rasa kasih sayang adalah fitrah manusia seperti mana jasad memerlukan makanan dan akal memerlukan santapan ilmu pengetahuan. Kasih sayang adalah fitrah yang memerlukan hidayah (petunjuk) supaya fitrah ini tidak sampai menjadi fitnah.

    Cinta adalah anugerah (hadiah) daripada Allah s.w.t. Sebagai penerima hadiah, sudah tentulah kita perlu menghargai pemberi hadiahnya dahulu sebelum menghargai hadiah yang yang diberi. Oleh itu, CINTA Allah s.w.t perlu diutamakan dalam masalah ini, iaitu bukan sahaja dengan mengakui bahawa Tuhan adalah pencipta cinta bahkan sebagai pengatur dan fokus pengabdian diri seluruh kecintaan.

    Cinta diciptakan bukan untuk suka-suka, tetapi sebagai salah satu jalan bagi mencapai keredhaan Yang Esa. Di setiap laluan perjalanan ini, sudah tentulah tercacak pelbagai jenis 'signboard', merujuk kepada peraturan yang perlu dipatuhi agar kita tiba ke destinasi cinta dengan selamat. Antara peraturan utama dalam bercinta ialah mendasari tiap cinta kepada  CINTA Allah dan memastikan tiada hukum-Nya yang dilanggar dan diperlecehkan, meskipun mungkin pada pandangan nafsu dan emosi, batas-batas cinta ini amat menyukarkan. Ingatlah teman;
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.." (al-Baqarah: 216)

   Cinta sejati hanya akan tiba andai masa, tempat, keadaan dan calon telah sesuai. Ia tidak perlu dicari. Dalam memilih pasangan, Rasulullah s.a.w juga telah memberi petua terbaik iaitu dengan menilai berasaskan kecantikan, harta, keturunan dan ketaatan mereka dalam beragama. Cukuplah sekadar bersederhana dalam hal-hal lain, tetapi yang paling utama adalah keindahan akhlaknya pada pandangan insan dan ketinggian taqwanya pada pandangan Tuhan. Inilah juga ciri-ciri pasangan yang diperintah untuk dinikahkan.

    Malah cinta sejati itu sebenarnya adalah datang dari hati dan terpancar ke mata, bukan dari mata turun ke hati, kerana hatilah yang sebenarnya mengawal mata dengan pandangan iman, bukan sebaliknya. Sedarilah, mata kepala hanya memandang wajah manis yang tetap akan berkedut dan wang ringgit yang tetap akan hangus, sedangkan mata hati jua yang mengenal sebaik-baik akal budi pasangan hidup.
    Rahsia untuk mengekalkan rasa cinta terhadap insan hanya dua, iaitu rindu untuk bertemu dan melakukan apa sahaja yang disuruh. Apa yang lebih penting dan utama adalah untuk mengekalkan rasa CINTA kepada Allah dan Rasul-Nya, rindu untuk bertemunya di akhirat sana, rindu dengan bermunajat di sepertiga malam, rindu untuk menghadap-Nya dalam solat juga melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

(by  qamarguyz:  risalah al-Qamar  edisi 9)

Saturday, June 04, 2011

Pantun Suratan Tuhan

Lumpuh jundi dipanah musuh
diampun dosa Tuan peterana
senjata sabar harus diasuh
lenyapkan kecewa di dada atma

Kencana dicuri penyamun jalanan
tenang jauhari kehilangan materi
maafkan saja kekhilafan insan
tersingkap erti ampunan Hakiki

Menuntut ilmu di laman sekolah
gagal mengarang puisi hikmah
senyuman diukir penyeri wajah
ganjaran pahala menghulur sedekah

Bumi Palestin berdarah lagi
ayahnya mati ibunya pergi
syukurilah kita damai di sini
sempurna seri harmoni famili

Kembara jenazah menuju kuburan
bertemu Kekasih jadi impian
doa dihulur menyeka tangisan
redhai segala suratan Tuhan


(by qamarguyz: nukilan@ikim.fm)

Thursday, June 02, 2011

Perkhidmatan Pengiklanan

Merujuk kepada jumlah trafik dan keaktifan laman ini yang semakin meningkat dan stabil, dengan ini saya menawarkan perkhidmatan tapak pengiklanan bagi menyokong blogger-blogger khususnya daripada kategori ‘blogshop’. Jenis dan harga iklan yang ditawarkan adalah seperti butiran di bawah:

Tapak 1: Leaderboard 
(banner size 728 x 90)
- 1 bulan RM30
- 2 bulan RM50

Tapak 2: Head Banner 
(banner size 468 x 60)
- 1 bulan RM30
- 2 bulan RM50

Tapak 3: Rectangle 
(banner size 300 x 250)
- 1 bulan RM30
- 2 bulan RM50

Tapak 4: Wide Skyscraper
(banner size 160 x 600)
- 1 bulan RM30
- 2 bulan RM50

Tapak 5: Skyscraper
(banner size 120 x 600)
- 1 bulan RM30
- 2 bulan RM50

Sekiranya anda tidak mempunyai banner iklan, perkhidmatan membuat banner turut disediakan dengan kadar bayaran RM5 sahaja.

Jika berminat, sila hubungi saya di email:

Terima Kasih