Tuesday, May 31, 2011

Definisi Cinta

CERPEN ‘TARIAN KEJORA TIMUR’
(sebuah adaptasi kisah benar)

Dingin malam mencengkam sendi tulang. Purnama terang membias kelam malam. Di sudut jendela, aku terpamit melihat kejora di sebelah timur itu. Cahayanya persis menari-nari menghiburkan sanubari. Senyumanku terukir sendiri.

         “Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu aku tenung berkali-kali. Bermula dari sebuah kebetulan, berakhir dengan seberkas harapan. Tiada kusangka tindakan jujur  mencari teman ukhwahfillah di segmen ‘Sembang Pagi IKIM.fm’ itu menemukanku dengannya. Lebih tidak kuduga wanita ini rupa-rupanya siswi satu kolej denganku, malah satu fakulti dan satu kursus pengajian. Bezanya dia sudah berada di semester akhir sedang aku baru di semester tiga. Tidak hairanlah umurnya lebih tua dua tahun daripadaku. “Aah..itu bukan masalah besar. Lebih usia tentu lebih matang dan gantang!” usik hatiku. - Monolog: inikan cinta, bertemu dan bersatu tanpa keduanya tahu.

         Keikhlasannya membantuku dalam pengajian membawa kepada pertemuan pertama kami petang tadi. Kafeteria pelajar tempat dituju. Setibanya di sana, mataku terus menangkap sesusuk tubuh berjubah hijau berkelebung labuh paras dada. Sopan santun dan tunduk malunya saat menghulurkan cebisan nota itu benar-benar menggoncang nurani. Sungguh. Terasa bagaikan ada titisan embun sejuk membasahi relung hati, asyik dan mendamaikan. Ohh..dari manakah bidadari ini muncul? Aku benar-benar tidak pernah melihatnya sebelum ini. Cuma setahuku dia adalah salah seorang exco kepimpinan pelajar di fakultas kami. - Monolog: inikan cinta, tenang di hati tersenyum sendiri.

     “Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu kutenung berulang kali. Mungkinkah pertemuan tadi membulatkan tekadnya untuk berterus-terang. Sememangnya selama ini aku seakan tertarik dengan gaya bahasa dan lenggok tutur katannya saat berhujah dan berbincang, walaupun sekadar di skrin ‘handphone’ cuma. Jika dihitung sudah hampir sepurnama kami berinteraksi sebegitu, berbahas tentang pelbagai isu. Namun, agak jarang kami berbual dan bersoalkan hal peribadi masing-masing. - Monolog: inikan cinta, tak perlu bicara namun tetap dirasa.

Tiada kata yang mengungkapkan tanya
Tiada bahasa yang menjelaskan jawapan
Namun rahsia di hati memang sukar dilindung
Bila wajah jiwa mula berlagu ceria
Biar diam berbicara
Jalinan kasih anugerah-Nya
Tetap terbuka..

Tidak kuduga bait-bait puisi yang kubina dibalas tenang olehnya..“Ana sudah lama menyukai enta!”

      *****
“Mengapa sayang? Kenapa?! Mengapa baru sekarang kau luahkan segala? Ternyata kesucianmu itu palsu cuma?!.Aah..bagaimana begini?” hatiku meradang saat mendengar bicaranya tika itu. Benakku kabut, nafasku susut. Aliran jernih di pipinya langsung tidak mendatangkan simpatiku. Aku dilema. Dialah wanita yang kudamba selama ini, yang kurasakan  bisa bersamaku membina mahligai firdausi, jua famili insani untuk sehidup semati. Dialah insan yang kuharap menjadi pelengkap hidupku, jua ibu kepada anak-anakku. Setelah dia membangkitkan semangatku sehingga muncul ‘top student’ di sini, setelah dia merangsang kepimpinanku sehingga mengepalai persatuan pelajar di sini, kini dia menguji keikhlasan dan kematanganku sehebat ini. Bisakah begini? - Monolog: inikan cinta, tangis tiba sebelum ketawa ria.

*****
Dalam kedinginan petang itu, saat sang hujan mengorbankan diri menlencuni bumi, seorang gadis tertidur sendirian seusai menunaikan solat fardhu Asar. Mungkin agak kelelahan setelah seharian menguruskan majlis pertunangan sepupunya, tengahari tadi. Tiba-tiba, ‘Kreeeek!..’ kedengaran daun pintu biliknya dikuak. Kamar itu ternyata terpisah dengan ruang utama rumah kampung yang agak luas, jauh dari hingar-bingar orang ramai. Anak gadis tersebut langsung tidak menyedari derapan kaki si penceroboh. Lantas dia membiarkan dirinya diusik dan disentuh lembut oleh si jantan rakus. Sebaik tersedar, tersentak si gadis melihatkan kain batik yang melilit pinggangnya telah terlondeh. Aah..dia sudah tidak kuat untuk menghalang, apa lagi mahu melawan. Gadis tulus berkulit mulus akhirnya sama-sama hanyut dalam dunia kenikmatan, menghempaskan mahkotanya pecah berderai! - Monolog: inikan cinta, sejarah lama kita terima.

*****
Di penjuru kamar, aku menangis sendirian. ‘Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tiada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan!..’ Untaian hikmah ini hadir di fikiran seperti mahu aku memaafkan dia yang tidak berdosa, seolah-olah mahu emosiku tenang menghadapi dugaan tercipta. Segala suka duka perkenalan kami semenjak dua tahun lalu kembali terimbau di ingatan. Walaupun satu fakulti, ternyata kami mampu menyembunyikan hubungan dari pengetahuan rakan-rakan dan para pensyarah. Tiada istilah ‘dating’ dalam hidup kami, tiada fitnah dunia yang bisa mengganggu keberkatan cinta kami. - Monolog: inikan cinta, tidak ribut tidak menunjuk untuk hidup.

Buku ‘Bertaubat Kepada Allah’ tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi itu kucapai dan kubelek kembali. Panjang lebar ulama kontemporari ini membahaskan persoalan ayat ke 26 surah an-Nur: ‘Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)..’ Adakah harus aku memilih wanita yang tidak lagi suci? Apakah pula yang dikatakan suci itu? Bagaimana jika mereka telah bertaubat dengan seperinya, taubatun nasuha? Aku memang tidak menyalahkannya atas apa yang berlaku. Namun hakikat cinta perlu berilmu, perlu beramal dan perlu menjamin taqwa. Inilah ritmanya. Pernah aku lalai dan alpa, sehingga menumbuk dinding setelah dihalang dari menumbuk tingkap berkaca. Mungkin saat itu aku benar-benar kecewa dan buntu, emosi yang terganggu memudahkan syaitan datang mengganggu. Namun begitu, sebenarnya jauh di sudut hati, aku masih yakin bahawa dia adalah wanita suci di sisi Ilahi walaupun kotor di sisi insani. - Monolog: inikan cinta, ilmu dan amal jadi pembela.

*****
Dalam sujud di sepertiga malam, aku berseru dan mengadu. “Ya Allah..Berikanlah petunjuk pada hambamu yang hina ini. Berikan aku kekuatan untuk merungkai dilema ini. Jika memang dia yang terbaik untukku, kau satukanlah hatiku dengan hatinya. Jika tidak, engkau redhakanlah aku atas tiap ketentuan-Mu..” Aku pasrah. Aku berserah. Aku bangun menyingkap jendela, kulihat dunia, kubersyukur pada-Nya. Kejora timur itu masih menari-nari menghiburkan sanubari. Senyumanku terukir sendiri. Aku yakin, inilah petunjuk Ilahi, memberi makna cinta sejati.


p/s: Cerpen di atas adalah untuk penyertaan bagi contest Definisi Cinta anjuran blogger miszpathetic. Bagi memenuhi syarat penyertaan, tiga blogger berpengalaman di bawah telah 'ditag' untuk turut serta, andai punya kelapangan & peluang. Bagi blogger lain yang turut berminat, boleh klik pada banner contest di atas untuk maklumat lanjut. TQ

Thursday, May 26, 2011

Janji Kekasih...

Masihkah kau semadikan di minda?
Bahawa hubungan yang terjalin 
antara kita adalah cinta tulus
bersulam taqwa..
Rangkaian jiwa sesama
insan manusia
menjadi lambang
keagungan cinta
terhadap Sang Khaliq
Maha Pencinta...

 Berjanjilah kasih..
Hubungan kita yang terbina
kerana kasih pada-Nya
takkan terhalang oleh
tembok minda manusia
takkan hilang dek
api yang menjulang
takkan sirna kerna
kabus yang kelam..
tetapi hanyakan musnah
oleh kerana hati yang HITAM...

Monday, May 23, 2011

Menang Ataupun Syahid


Judul: TARIQ - Menang ataupun Syahid
Penulis: Abdul Latip Talib
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Muka Surat: 244
Harga: Sem. Malaysia - RM 23.90
Sabah/Sarawak - RM 26.90

Macam mana aksara dalam novel sejarah Islam ini mempengaruhi hidup saya? Sikap saya? Pemikiran saya? Minda saya dalam memerhati dan menjalani hidup ini? Banyak sekali. Saya petik sedikit kata-kata daripada buku ni;

"Seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu pertahankan jiwa kalian." 
-Tariq bin Ziyad-

"Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan) dan lidah (berdakwah)." 
-Sayyid Abul A'la al-Maududi-

      Tariq asalnya seorang budak suruhan yang berketurunan Barbar. Beliau memiliki semangat pahlawan yang sangat tinggi, membuatkan ramai yang menghormatinya sebagai seorang wirawan Islam. Pengarang berjaya membuktikan kepada pembaca tentang kemurnian agama Islam melalui tindakan panglima Tariq dan pejuang-pejuang Islam yang lain memberi bantuan kepada bangsa dari negara Andalusia (kini Sepanyol) dan sekaligus menawan negara yang diperintah oleh Raja Roderiga, seorang raja yang terkenal kejam. Panglima Tariq telah bertindak licik dengan membakar kapal-kapal perang milik pejuang Islam yang telah ditaja oleh Panglima Julian, kerana cara tersebut akan dapat membangkitkan semangat juang para satria Islam. Juga dapat meyakinkan mereka dengan pertolongan Allah serta janji-janji Allah kepada para syuhada yang sanggup bejuang demi menegakkan kebenaran.

"Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di hadapan kalian, ke manakah kalian mahu lari? Demi Allah, apa yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran.."

Kata-kata semangat yang dituturkan oleh Panglima Tariq terbukti telah menaikkan semangat para pejuang Islam. Natijahnya, mereka berjaya menawan Andalusia, membebaskan rakyat daripada penindasan, serta menghapuskan kekejaman Raja Roderiga serta para pengikutnya. Penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan beragama benar-benar diakui.

..Kegelapan telah sirna setelah datangnya cahaya..

     Bila sahaja terkenang semangat yang dimiliki oleh para pejuang Islam terdahulu, pasti akan refleksi, bagaimana pula dengan kita? Masih adakah lagi yang sanggup bergadai nyawa demi menegakkan maruah agama daripada tercalar? Masih adakah yang mampu membela nasib golongan yang tertindas seperti yg sedang berlaku di Palestin? Wujudkah semangat juang seperti itu dalam diri kita? Seperti yg disebut oleh Sayyid Abul A'la al-Maududi di atas, InsyaAllah selagi masih wujud ruang dan peluang untuk meninggikan kalimah Islam, selagi itulah saya akan terus menulis dan berkongsi dengan semua.
          oleh bintun sazali - pemenang saguhati contest 'Aksara Pencorak Hidupku'

Saturday, May 21, 2011

Terkunci Mati...


Oh Kunci..
kepalamu bulat berseri
tubuhmu lurus bergerigi
pada yang bulat adil berdiri
pada yang lurus kadang berduri

Oh Kunci..
kepalamu bulat berseri
tubuhmu lurus bergerigi
pilih yang bulat selamatlah diri
pilih yang lurus hujungnya tak pasti
Terkunci hati matilah atma
terkunci lidah khilaf bicara
terkunci kaki sunyilah kota
terkunci akal ilmu dicela
                                                                                         
Terkunci mata pandangan berbeda
terkunci telinga nasihat dicerca
terkunci rasa emosi berduka
terkunci taqwa maksiat dicuba

Kasih dikunci rindu bersemi
sayang dikunci renta jauhari
yang mana kunci pilihan saudari?

Wednesday, May 18, 2011

Header Yang Tersendiri..

Segala puji bagi Tuhan, segala penghargaan buat insan. Alhamdulillah, setelah hampir setahun setengah timbul di ruangan tanpa sempadan ini, laman 'Aksara Cinta Ilahi' kini muncul dengan 'header' yang tersendiri. Semuanya hasil sumbangan masa & tenaga dari blogger yang tidak asing lagi - abgteror.


Gambar - Kemasukan gambar peribadi penulis bertujuan untuk terus memungar ukhwah bersama rakan-rakan blogger yang lain. Tanpa pengenalan mana mungkin wujudnya cinta & kasih sayang. Malah, laman ini juga telah acap kali berkongsi pengalaman & kisah-kisah peribadi penulis.

Hijau - Warna tema laman ini, moga memberi ketenangan buat para pengunjung. Sememangnya hijau merupakan 'favourite colour' penulis, juga sesuai dengan sukma politik dalam diri yang terus menghijau dulu hingga kini.

Huruf Jawi - Kata 'aksara' boleh difahami sebagai 'huruf-huruf', maka pemilihan simbol abjad jawi amat bersesuaian dengan laman yang bercorak Islami & bersulamkan puisi ini.

Alhamdulillah. Penulis sangat berpuashati di atas usaha baik abgter0r ini. Idea yang dicanang dengan kreativiti yang cemerlang membuahkan hasil yang mendamaikan. Simple & Menarik. Penulis ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih di atas jasa baik abgter0r yang semamangnya 'teror' ini. Orang berjasa kita merasa, orang berbudi kita hargai. Syukran, moga ukhwah di alam maya ini berkekalan hendaknya.

p/s: buat rakan-rakan blogger khususnya yang belum pernah mempunyai header boleh la cuba risik-risik kepada abgter0r yer..free taw..klik banner di bawah untuk ke laman beliau.

Monday, May 16, 2011

'Guru Berpesan Aku Bermonolog'

Pesannya Dulu:

  • "dah duk hostel ni, rajin-rajin la turun berjemaah kat surau..esok lusa dah masuk U tak ada siapa lagi nak paksa-paksa, bawa awak semua ke sini.."
  • "budak comel macam awak ni tak payah risau lah..dah besar nanti mesti ensem, perempuan datang keliling pinggang.."
  • "nanti dah jadi orang berjaya, jangan lupa cikgu kat sini..kalau jadi doktor ke, bolehlah tolong rawatkan cikgu.."
Monologku Kini:

  • "benar katamu..walau surau berganti masjid dan aku berkendera baru, tetap liat ke rumah-Nya itu.."
  • "benar katamu..walau aku tidak mencari, mereka tetap setia menanti, satu badan mengelilingi.."
  • "aku mungkin bukan doktor biasa, bisa jadi doktor cinta dan jiwa..cikgu ke anak-anak cikgu ke, semuanya anak bangsa yang perlu dijaga.."
Terima Kasih cikgu, guru, ustaz dan semua..
kalian mendidik bukan mengajar..
benar katamu aku setuju, walau kadang alpa dipandu..
Selamat Hari Guru khususnya buat warga pendidik di era kecil & remajaku - 
Sek. Keb. Seri Kemaman (1995-2000)
MRSM Muadzam Shah (2001-2003)
MRSM Jasin (2004-2005)

Thursday, May 12, 2011

Tips Cinta: Membina Jiwa Serasi

Judul: Membina Jiwa Serasi
Penulis: Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj
Penerbit: Karya Bestari Sdn. 
Bhd.
Muka Surat: 306
Harga: RM15.00

'Aksara Pencorak Hidupku'

Sememangnya Cik Jari sangat suka membaca buku motivasi sambil bermuhasabah diri. Buku ini dibeli selepas Cik Jari mengambil keputusan untuk kembali 'single'. Bukan mudah untuk memutuskan sesebuah perhubungan yang sudah lama terjalin erat. Kadang-kala timbul keraguan di hati. "Betulkah tindakanku ini?" "Bukankah aku masih menyayanginya?" "Tidakkah aku kejam terhadapnya?" Persoalan-persoalan tersebut sentiasa berlegar di ruangan minda. Namun, sebaik sahaja mengkhatamkan buku Membina Jiwa Serasi, Cik Jari semakin yakin dengan tindakan sendiri. Kata buku;

"Apabila anda bercinta dan merasakan cinta telah membawa anda pada peningkatan iman, ketahuilah bahawa anda sedang melalui jambatan cinta yang betul, sebaliknya tatkala anda bercinta dan merasakan anda semakin dihanyutkan oleh perasaan muluk hingga kandas melakukan dosa, anda sedang melalui jambatan cinta yang salah!"

Maka, benarlah bahawa sesungguhnya himpunan aksara mampu menerbitkan seuntai kata yang penuh makna lalu menusuk ke dalam jiwa untuk mengubah hidup manusia. Cik Jari tidak ingin selamanya jahil dan terus-menerus melakukan kesilapan samada yang nyata mahupun yang batin. Alhamdulillah, buku ini mampu memberi bimbingan dalam mencari jalan kebenaran.

         Buku ini memberi tips cinta kepada Cik Jari sendiri. Carilah keserasian dengan fahami peribadinya. Elak mengada-ngada tetapi boleh bermanja. Letakkan lima elemen cinta di atasnya iaitu Tuhan, Rasul, ibu bapa, ilmu, diri sendiri dan barulah si dia. Batasi pergaulan. Bertukar-tukar hadiah, doa dan mutiara kata selalu. Jangan terlalu mudah dan terlalu murah. Kenali keluarganya dan perkenalkan diri anda kepada keluarganya.

oleh Cik Jari - pemenang saguhati contest 'Aksara Pencorak Hidupku'

Monday, May 09, 2011

Utusan: 'Mitos Penuh Kecemasan'


Haiwan punya nafsu dan naluri, manusia punya akal yang merajai. Kuasa minda dan pemikiran amat penting untuk diekploitasi bagi memenuhi kepentingan politik masa kini. Menyedari bahawa situasi semasa semakin sulit, politik tarik-menarik dan tolak-menolak mula bergerak. Komponen politik BN dilihat semakin rakus mencarik kontrak sosial yang menjadi kitab perdamaian kaum di Malaysia. MCA ugut Cina, UMNO ugut Melayu, maka berpautlah kita pada dahan mereka yang kian mereput. Usaha terdesak UMNO untuk memerangkap dan memenjarakan pemikiran Melayu dalam kotak agenda politiknya dapat dibaca dengan mudah menerusi lidah rasmi mereka, Utusan Malaysia. Setelah gagal menimbulkan kebencian terhadap ketua pembangkang, setelah gagal menghulurkan tangan perpaduan, provokasi agama dan kaum kian lantang dimainkan. Sengaja dicetuskan kebimbangan, kecurigaan dan ketakutan agar rakyat terus kebingungan.

Artikel berjudul “Kristian Agama Rasmi?” yang dipaparkan pada laman utama Utusan minggu lalu jelas membuktikan wujudnya usaha berkenaan. Tanpa langkah sewajarnya dalam meneliti kesahihan sumber, akhbar tersebut mendakwa adanya konspirasi antara pimpinan agama Kristian dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya sekaligus menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara, lantas membolehkan jawatan Perdana Menteri dijawat oleh orang bukan Islam. Berdalilkan hanya sekeping gambar kabur yang diterbitkan dua blog pro UMNO, perjumpaan yang turut dihadiri ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi (DAP) itu terus dimanipulasi bagi membangkitkan sentimen ketakutan dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun, NECF selaku penganjur pertemuan berkenaan dalam penafiannya menjelaskan bahawa pertemuan itu hanya meliputi topik kepimpinan beretika dan tidak ada langsung agenda bersifat penderhakaan seperti yang didakwa. Barang diingat, sebelum ini Utusan juga lantang memperjuangkan kesepaduan Melayu bagi menghadapi kuasa politik Cina yang semakin bersatu di bawah DAP menerusi idea ‘1Melayu 1Bumi.’ Malah, Utusan turut memperlekehkan elemen demokrasi dengan cadangannya agar kerajaan BN mengabaikan kepentingan masyarakat Cina yang dianggap ‘membalas susu dengan tuba’ berikutan kekalahan mereka di tangan DAP dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

Hakikatnya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan agama Islam bukanlah sesuatu yang dapat dicabar secara wewenang tanpa sokongan 2/3 ahli Parlimen yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Selagi wujudnya si gadis Ayu dan si gagah Tuah di atas tanah ini, adalah mustahil ianya dapat dipelopori oleh si hitam Samy dan si putih Chua. DAP sendiri awal-awal lagi telah memeterai dokumen perjanjian bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bagi menjamin kedudukan agama, raja, bahasa dan hak istimewa Melayu seperti sedia kala. Selaku pemuda-pemudi Melayu yang merdeka jiwa dan raga, sama-samalah kita memerhati dengan mata yang terbuka dan hati yang terasa. Gunakan kuasa memilih yang kita ada kerana selagi ianya bernama Utusan, segala akta boleh dipermainkan, sebarang tindakan tidak mungkin berjalan. Segala mitos penuh kecemasan ini usahlah dilayan. Dibaca boleh dipercaya jangan. 

Saturday, May 07, 2011

Aksara Iman



Aksara Iman di alam maya
singgah di rahim bonda sengsara
belayar menduga mehnah dunia
tewas nahkoda terhempas mahkota
Karam iman di dalam jiwa
kembali bertaut bicara nasuha
akhir lafaz usah dipersia
kubu cinta pada yang Esa
Tujuh langkah telah berlalu
gelap iman berpuisikan sendu
perca putih membalut kalbu
bernisankan batu sabar menunggu
Detik dihimpun jiwa meronta
ke mana arah akan dibawa
dengan iman rentasi Sirat
ke puncak mulia
atau ke lembah hina!

( by qamarguyz: nukilan@ikim ) 

Monday, May 02, 2011

Review Buku: Ajaibnya Sedekah


Judul: Ajaibnya Sedekah..'Semakin Sedekah Semakin Kaya'
Penulis: Muhammad Muhyidin
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Muka Surat: 171
Harga: RM11.90

"Nah ambil buku ni," kata abang ana sambil menyerahkan beberapa buah buku kepada ana. Banyak buku yang dibawa pulang. Tetapi buku yang bercampur warna hijau tua dan muda itu menarik perhatian ana. Aksara pada buku ini cukup menarik minat untuk terus menyelak helaian demi helaian di dalamnya.

    Menarik bunyinya bukan? Bagaimana dengan bersedekah mampu membuatkan kita semakin kaya sedangkan jika dilihat pada mata kasar ia tidak selari dengan hukum ekonomi moden. Membacanya cukup memberi kita perspektif yang berbeza mengenai ibadah bersedekah ini. Semakin banyak yang dikeluarkan tanpa kepentingan, semakin bertambah pendapatan dan semakin kaya. Buku ini membicarakan mengenai keajaiban dan mukjizat sedekah khususnya dalam meningkatkan kekayaan dan kebahagiaan. Ia juga memberikan penjelasan mengenai hubung kait antara sedekah dan rezeki dalam satu rumus matematik sedekah. Ia turut menjelaskan mengenai mukjizat sedekah dalam menghindar penyakit dan memanjangkan usia.

REHLAH JIWA

Percaya atau tidak, ana sendiri mengalaminya. Bagaimana dengan bersedekah, mampu menjadikan ana tidak miskin. Bahkan setelah membaca buku ini, semakin berkobar jiwa untuk terus beramal dengan ibadah ini. Kisahnya apabila ana sudah kehabisan wang perbelanjaan semasa pengajian. Duit untuk makan, duit minyak motor, duit untuk membayar fotocopy nota lagi. Buntu ana untuk mencari sumber kewangan. Tika sedang berfikir itu tiba-tiba ana mendapat mesej dari abang ana. Katanya dia sudah memasukkan duit ke dalam akaun bank ana. Pause seketika cerita ini...

      Tentu kalian terfikir, sama ada ana meminta bantuan ahli keluarga atau tidak untuk menyelesaikan masalah ini. Jawapannya 'tidak' sama sekali. Bukan niat mahu meminggirkan keluarga tetapi kondisi keluarga ana yang kurang mampu membuatkan ana rasa tidak mahu menyusahkan mereka. Saat abang ana menghantar mesej itu, sujud syukur ana pada Allahurabbi, mengalir air mata tatkala itu kerana Allah menunjukkan jalan pada hamba-Nya. Bukan itu sahaja, kawan ana pula sangat bermurah hati untuk belanja ana makan. Saat itu rasa syukur diri ini pada Allah sangat melangit tinggi.

       Apa kaitan cerita ana ini dengan ibadah bersedekah? Bukan niat mahu menunjuk tetapi marilah kita ambil ibrahnya bersama. Setiap kali ana mendapat duit pinjaman pengajian, perkara pertama ana akan buat adalah bersedekah, tidak kira pada sesiapa. Malahan, wajib bagi ana untuk belanja makan kawan-kawan dan juga famili. Atas keyakinan rezeki itu milik Allah, maka ana tidak ada rasa risau jika duit di poket hanya ada RM2 sahaja. Yakin, pasti rezekimu akan tiba dengan berusaha dan bersedekah pastinya.

     Banyak lagi sebenarnya kisah yang ingin dikongsi, tetapi biarlah menjadi kisah peribadi. Sungguh dengan bersedekah itu mampu membuatkan hati rasa bahagia dan semakin tenang. Jangan disempitkan ruang pemikiran kita dengan mengaitkan bersedekah itu dengan hanya menghulur duit sahaja. Tidaakkk!...Ada seribu satu cara untuk bersedekah asalkan niat itu hanya pada Allah s.w.t. Dengan menghulurkan senyuman yang manis itu sedekah, membantu orang yang dalam kemalangan itu sedekah, mengajar kawan-kawan tentang masalah pembelajaran itu sedekah, bertahmid, bertasbih dan bertakbir itu juga sedekah. Kalian lihatlah skop ibadah sedekah itu dengan ruang yang lebih lebar. Jika dilihat, maka tidak ada alasan untuk seorang mukmin itu untuk tidak bersedekah!

RENUNGAN BERHIKMAH

Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata, ada tujuh orang yang mendapat naungan Allah pada hari yang tidak terdapat naungan kecuali naungannya iaitu hari kiamat. Tujuh orang itu adalah :

1. Raja yang adil
2. Pemuda yang rajin beribadah pada Allah
3. Orang yang hatinya selalu berpaut pada masjid
4. Dua orang yang saling menyayangi semata-mata kerana Allah, bukan kerana dunia. Mereka bersama dan berpisah kerana Allah
5. Orang yang digoda oleh wanita cantik dan berkata "Aku takut pada Allah"
6. Orang yang bersedekah dengan bersembunyi hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya
7. Orang yang mengingati Allah dalam kesunyian hingga menitiskan air mata

Ayuh renungi kalam Allah ini:

"Bersegera kamu memohon keampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang -orang yang bertakwa iaitu orang yang menafkahkan hartanya baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan" (surah Ali Imran :133-134)

Bersedekahlah..kerana dengan bersedekah anda semakin kaya jiwa, kaya sahabat, waima kaya harta. insyaAllah...

oleh Suhana - pemenang tempat pertama contest 'Aksara Pencorak Hidupku'