Friday, February 24, 2012

Nilai Cinta Di Sisi Akal

      Akal adalah mahkota ilmuan. Kerana akal manusia berbeza dengan haiwan. Dengan ini akal memiliki keistimewaan yang tersendiri. Akal menyebabkan manusia mengenal banyak perkara. Kerana akal manusia bermegah akan kehebatannya. Akal sentiasa melindungi manusia dari segala bencana.

      Dalam perjalanan ini, kita perlu melihat bagaimana akal menilai cinta. Apakah akal mampu mengenal cinta? Hakikatnya cinta berada di wilayah penguasaan hati. Bila cinta berada di hati bererti di situ ia akan memerintah. Ketika akal mahu mengatur cinta, hati sering menepisnya kerana cinta bukan urusan akal dan hati melihat ia lebih agung dari akal. Akal tidak mampu menembusi benteng hati kerana cinta berada di luar kerajaannya. Bererti akal sama sekali tidak faham urusan hati dan cinta.

       Dalam epistimologi, wilayah hati jauh lebih luas dari akal. Hati mampu melihat dan memahami apa yang gagal difahami dan dilihat oleh akal. Akal umpama alat berenang, dengannya kekadang manusia sampai ke dataran dan kekadang tenggelam. Fungsi akal dan hati nyata berbeza, akal pada kedudukan penalaran dan berfikir sedangkan hati adalah merasa, sedang cinta adalah milik hati bukan akal. Akal tidak akan merasa nikmat dan kesan cinta, ia hanya dapat membuktikan wujudnya cinta. 

Saturday, February 18, 2012

Belajar Dari Si Kecil 'Angsa'

Cikgu! Di rumah saya ada angsa besar cikgu.” Arif sibuk bercerita.

Wah, besar macam mana?” Soal saya sekadar mahu mengusik si kecil itu.

Besar macam ni cikgu.” Katanya lagi sambil menggayakan tangannya untuk menggambarkan saiz angsa di rumahnya yang dikatakan besar itu.

Mengenangkan kisah ini, ia mengingatkan saya pada sebuah fenomena yang dapat disaksikan di negara-negara di sebelah Eropah menjelang musim sejuk. Burung-burung yang biasanya hidup di Eropah Utara mulai berangkat menuju ke Selatan iaitu ke negara-negara Laut Tengah yang bersuhu lebih panas. Setelah musim sejuk berlalu, mereka akan kembali ke tempat yang sama untuk mengeram. Antara burung yang terlibat dengan proses ini ialah angsa.
           
Angsa-angsa ini akan terbang dalam satu kelompok yang jumlahnya lebih kurang 100 ekor secara bersama-sama. Di langit mereka membentuk satu formasi berbentuk huruf "V". Ia merupakan suatu pemandangan yang sangat indah dan menarik. Ia juga merupakan satu petanda bahawa musim sejuk sudah semakin hampir. Perkara yang menghairankan, dengan formasi ini mereka dapat terbang sepanjang hari tanpa berehat dan berjaya sampai ke tempat yang dituju meskipun jaraknya lebih  kurang 2000  kilometer.

Belajar Dari Angsa

Haiwan yang bernama angsa ini bukanlah mempunyai kuasa ghaib sehingga mampu terbang tanpa henti sejauh 2000 kilometer. Tetapi rahsia yang diguna pakai sejak dahulu kala hanya satu iaitu sikap bekerjasama. Dengan sikap kerjasama antara mereka, haiwan ini mampu sampai ke tempat yang dituju tanpa berhenti di mana-mana perhentian sekalipun. Apakah bentuk kerjasama antara mereka? Mari kita lihat;

  • Formasi “ V ”
            Angsa-angsa ini biasanya akan terbang di dalam formasi berbentuk “V”. Oleh itu, tugas yang paling berat dalam formasi ini terletak pada burung pemimpin  yang berada di bahagian paling hadapan. Ini kerana dialah yang lebih banyak mengeluarkan tenaga bagi menahan angin yang datang dari bahagian hadapan. Oleh itu, angsa-angsa yang berada di belakang iaitu di sisi kiri dan kanan menjadi lebih ringan ketika menentang angin yang datang dari bahagian hadapan.

Jika salah satu angsa keluar dari formasi tersebut, maka secara spontan ia akan merasakan angin yang lebih kuat dari arah hadapan dan akan segera kembali ke dalam formasi. Mengenai hal ini, para ilmuwan berkata bahawa dengan teknik yang digunakan maka tahap ketahanan sekawanan burung 71% lebih tinggi jika dibandingkan dengan terbang sendirian.

Walaubagamanapun, bukan hanya angsa di depan sahaja yang mendukung angsa-angsa di belakang, tetapi angsa-angsa di bahagian belakang juga saling menguatkan angsa di bahagian hadapan dengan teriakan mereka sebagai sokongan moral dari angsa yang berada di belakang. Dengan teriakan ini, maka ketua angsa akan lebih bersemangat untuk meneruskan perjalanan.

  • Matlamat yang sama
            Sikap kerjasama mereka juga ditunjukkan melalui kebersamaan dalam mencapai matlamat. Angsa-angsa ini mempunyai satu matlamat iaitu kemahuan terhadap suatu kawasan yang lebih panas dan meninggalkan kawasan yang sejuk. Ini adalah sesuatu yang menarik kerana tanpa tujuan yang sama maka formasi 'V' burung-burung tersebut akan kacau bilau. Masing-masing akan bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan apa yang terjadi pada angsa yang lain. Oleh itu, sikap satu hati menatijahkan mereka sampai ke tempat yang dituju.

  • Sama merasa
            Ketua angsa sememangnya mempunyai tugas yang amat berat. Ia terpaksa mengharungi angin yang terkuat kerana ia berada di bahagian yang paling hadapan berbanding angsa yang lain. Posisi ini menuntut kekuatan tenaga dan tanggungjawab yang tinggi. Apa yang menariknya adalah apabila ketua itu tadi telah mulai keletihan, maka ia akan beransur ke bahagian belakang dan rakan angsa yang lain secara cepat akan mengambil alih tugasan tersebut. Begitulah yang akan berlaku seterusnya sehingga mereka sama-sama sampai ke tempat yang dituju. Sikap sama merasa akan kesusahan kepada ketua kumpulan mengambarkan sikap empati  yang tinggi mereka terhadap rakan sekumpulan.

  • Berganding bahu
            Jika dalam perjalanan yang cukup jauh itu ada burung yang lemah atau sakit, selalunya ada dua ekor burung lain yang akan mendampingi yang sakit ke bawah dan melindunginya. Mereka akan membantunya dengan memberikan semangat kepada angsa yang sakit itu sehinggalah ia sembuh atau mati. Lalu mereka akan bersama-sama meneruskan perjalanan mereka dengan kembali kepada sekawanan angsa yang lain, sehinggakan tidak pernah ada yang tertinggal atau ditinggalkan begitu saja tanpa ada yang membantu mereka.

Belajar Untuk Maju

            Apa yang diceritakan di atas semestinya menakjubkan. Bagaimana haiwan kecil yang bernama angsa itu mampu terbang ke angkasa raya dan menuju ke satu kawasan yang jauh hanya dengan menggunakan satu kaca kunci iaitu kerjasama. Jika dlihat dengan teliti, kita boleh mengambil tiga pengajaran dari pekara yang diamalkan oleh makhluk kecil itu.

  • Perlunya berasa sanggup
            Sebagai seorang manusia, kita boleh mengambil pengajaran dari nilai kesanggupan untuk berkorban dalam apa jua keadaan yang ditonjolkan oleh angsa. Sebagai contoh ialah dalam persaudaraan Islam, kita boleh mempraktikkannya dalam ukhwah sesama saudara seislam. Antara caranya ialah dengan mendahulukan mereka dalam pelbagai perkara. Ini secara tidak langsung meningkatkan sikap memberi sesama makhluk. Orang sekeliling kita bakal berasa dihargai dengan perbuatan itu.

Nabi Muhamad pernah berpesan kepada umatnya bahawa;

Seorang Muslim bersaudara dengan muslim yang lain. Ia tidak menganiayanya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuhnya). Barangsiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi pula keperluannya. Siapa yang melapangkan suatu kesusahan seorang Muslim, Allah akan melapangkan baginya satu kesusahan pula dari kesusahan-kesusahan yang dihadapi di hari kemudian.” (Laporan Bukhari dan Muslim)

            Oleh itu, Al-Quran ada menyebut bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara dan yang menjadikan mereka bersaudara ialah akidah keimanan. Keutuhan persaudaraan sesama Islam tidak akan terurai melainkan jika mereka keluar dari Islam. Ikuti sambungan seterusnya di dalam buku 'Give & Take antara Hamba dan Pencipta'...


p/s: Buku ini boleh diperolehi melalui pembelian di PTS.com atau didapati di kedai-kedai buku berhampiran anda. Para pembaca juga dijemput untuk berinteraksi dan berkongsi idea serta pandangan mengenai buku ini di FB rasmi Give & Take antara Hamba dan Pencipta atau di FB penulisnya sendiri menerusi nama Imtiaz Khan.

Wednesday, February 15, 2012

Dunia Sains Sosial

Dunia sains sosial ternyata menjanjikan pengalaman dan kepuasan berbeza buat para penggemarnya. Itulah yang penulis rasai sejak lima tahun yang lalu.
Tiada lagi kira-kira, rumus dan amali, yang ada cuma bacaan, hafalan dan strategi. Selepas kejayaan cemerlang dalam bidang perundangan di pentas pertama, 'result' hari ini membuktikan penulis masih di landasan yang betul saat menuju pentas yang kedua. Dengan azam dan disiplin yang tinggi, serta kaedah yang sesuai dengan diri, kejayaan rakan-rakan juga adalah sesuatu yang pasti.

Adalah penting untuk menyusun data dengan teratur dan sistematik di dalam minda agar ia bisa dimuntahkan kembali ke luar minda.

Lagi Petikan Dari FB Penulis..

Sempadan telah dituju, masa telah ditentu, sasaran telah ditemu. Kini masa untuk bekerja akan terus berlalu.

Untuk mencipta nama kita tidak boleh hanya berpartisipasi dalam kalangan kita sahaja, kadang-kala perlu menganjurkan sesuatu yang lebih besar dalam kalangan mereka di luar sana. Yang masih dalam bidang kita, walaupun dengan kerjasama mereka.

Autoriti karismatik tak setanding autoriti undang-undang, sukar bertindak susah bergerak.

Sunday, February 12, 2012

Awas! Hidup Suka Akhirat Duka

Ketika kereta meluncur dengan laju di tengah jalan raya menuju ke Cameron Highland baru-baru ini, mata saya hampir-hampir tidak boleh terlelap dek kerana jalan yang tidak dapat dijangka haluannya. Ini bermakna kami perlu peka dengan bahaya di hadapan. Kami juga perlu peka dengan papan-papan tanda yang berada di tepi jalan. Salah satu dari papan tandanya ialah "AWAS! selekoh berbahaya dihadapan." Jadi apabila ternampak papan tanda ini, saya melihat pemandu kami melakukan beberapa perkara iaitu;


Lalu saya terfikir, bagaimana sekiranya di langit yang terbentang luas itu Allah meletakkan satu papan tanda berbunyi "AWAS! hidup suka akhirat duka." Adakah mungkin semua manusia akan memperlahankan kereta sebagai langkah berhati-hati atau mereka masih pada kelajuan yang sama? Mungkin jawapannya ya bagi mereka yang menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupan tetapi mungkin juga tidak kepada manusia yang menyangka hidup ini adalah segala-galanya.

Suka Yang Membawa Celaka

         Kita biasanya mendengar laungan-laungan seperti "hidup ini hanya sekali, jadi enjoylah sepuas-puasnya" dan juga "bersuka rialah selagi kamu bernyawa!” Adakah benar kita perlu enjoy sepuas-puasnya selagi kita diberi nyawa oleh Allah? Saya merasakan bahawa terdapat sesuatu yang kurang dengan ungkapan-ungkapan tersebut. Ya benar kita perlu berasa seronok dengan kehidupan kita, tetapi bukanlah dengan cara yang tidak betul dan menyeleweng dari sifat-sifat kemanusiaan. Sebagai contoh ialah;

  • Cintakan dunia melebihi akhirat.
  • Enjoy sehingga melupakan tanggungjawab kepada Allah dan manusia sekeliling
  • Melakukan perkara yang terkeluar dari hukum Allah.
Inilah yang saya maksudkan kita bersuka ria sehinggakan ada perkara yang terabai. Ramai manusia yang mati hanya kerana keseronokan yang disangka boleh membahagiakan. Hakikatnya keseronokan itulah yang membinasakan mereka.

  • Elvis Presley
                Dunia hiburan antarabangsa gempar dengan kematian seorang lagenda rock iaitu Elvis Presly. Matinya ketika kemuncak popularitinya dalam dunia hiburan iaitu pada tarikh 16 Ogos 1977 pada usia 42 tahun. Dapatan awal mengatakan bahawa beliau mati kerana denyutan jantung yang tidak seimbang. Walau bagaimanapun, setelah siasatan lanjut dijalankan terbukti bahawa beliau mati kerana mengambil dadah yang berlebihan. Siasatan juga membuktikan Elvis telah mengambil lebih kurang 5000 hingga 10 000 biji pil dalam tempoh lapan bulan sebelum kematiannya. Secara langsung punca kematiannya diletakkan dibawah fakta “overdose”.

  • Margaux Hemingway
               Margaux merupakan seorang model dan selebriti yang mati pada 1 Julai 1996. Ditemui mati di kondonya iaitu di Santa Monica, California. Setelah siasatan dijalankan beliau dikatakan membunuh diri dengan menggunakan dadah yang bernama Phenobarbital. Sehari sebelum kematiannya ialah ulang tahun kematian datuknya Ernest Hemingway yang juga mati disebabkan bunuh diri!

  • Freddie Prinze
               Pelawak ini hanya berumur 22 tahun ketika kematiannya. Beliau mati kerana menembak kepalanya. Beliau ditemui mati di bilik hotelnya di Los Angeles pada tarikh 29 Januari 1977. Setelah siasatan dijalankan, Freddie didapati menembak kepalanya dibawah pengaruh dadah.

              Cerita-cerita di atas ingin saya gambarkan sebagai satu perkara yang tidak mustahil  berlaku kepada diri kita. Lebih-lebih lagi jika kita hanya menganggap hidup ini hanya untuk bersuka ria dan akhirnya kita kecundang. Nasib kita boleh jadi seperti Freddie Prinze, Margaux Hemingway dan Elvis Presley jika kita tidak mula sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara. Dunia bukanlah matlamat akhir kita untuk mencapai kebahagiaan. Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah di dalam bukunya ‘Menerobos Sempadan Diri’ berkata bahawa "kunci keselamatan dunia dan akhirat adalah taqwa." Benar sekali kata-katanya kerana taqwa inilah yang menjadi kunci keselamatan dan kebahagiaan manusia. Tanpa taqwa, kehidupan akan menjadi bercelaru dan tertekan.

             Kita mungkin berasa pelik mengapa mereka sanggup mengambil dadah sedangkan mereka tahu kesan buruk yang terkandung dalam dadah itu sendiri. Jadi mengapa? Ikuti sambungan seterusnya di dalam buku 'Give & Take antara Hamba dan Pencipta'...

p/s: Buku ini boleh diperolehi melalui pembelian di PTS.com atau didapati di kedai-kedai buku berhampiran anda. Para pembaca juga dijemput untuk berinteraksi dan berkongsi idea serta pandangan mengenai buku ini di FB rasmi Give & Take antara Hamba dan Pencipta atau di FB penulisnya sendiri menerusi nama Imtiaz Khan.

Thursday, February 09, 2012

Pelamin Kasih..

Ijab berwali qabul bersaksi, lafaz sakinah sehidup semati,
dosa pahala bagi suami, taat setia bagi isteri, 
ini tanda adilnya Ilahi..

MAJLIS PERNIKAHAN
venue: Masjid Geliga, Kemaman, Terengganu
date: 22 January 2012
time: 9.00 p.m.





MAJLIS KESYUKURAN
venue: Kg. Geliga, Kemaman, Terengganu
date: 23 January 2012
time: 11.00 a.m. - 04.00 p.m.












MAJLIS RESEPSI
venue: Dewan SUK, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak
date: 4 February 2012
time: 11.00 a.m. - 04.00 p.m.





Sekalung tahniah buat adikku Azira dan pasangannya Faizul atas pernikahan ini..semoga hubungan yang terjalin berkekalan sepanjang zaman..amEen..

Monday, February 06, 2012

Cinta Itu Buta

       Cinta adalah urusan hati bukan akal, sebab itu perkara yang dilakukan oleh yang bercinta tidak mampu dikawal oleh akal apakan lagi menerimanya. Hati membutakan dan mentulikan akal. Sebab itu kita sering mendengar orang berkata ‘cinta itu buta.’ 

   Kata-kata ini ada kebenarannya kerana apabila kita mengatakan ia adalah urusan hati, bererti ia tidak melihat tetapi merasa. Melihat itu urusan indera luaran, dengan mata, mata akan memindahkan kepada akal untuk menghukum. Mata tidak memiliki apa jua kekuatan selain dari melihat. Tugasan menilai adalah akal. Di sini akal menghukum bahawa cinta itu buta kerana melakukan perkara yang tidak dipersetujui oleh akal. Akal adakalanya mengatakan bahawa pekerjaan orang yang bercinta itu bodoh dan sia-sia tetapi hati mensucikannya. Akal menilai kerja yang dilakukan disebabkan cinta adalah sesuatu yang menyusahkan tetapi bagi pencinta ia amat menyenangkan. Si pencinta akan menjadi Majnun yang fana dengan cintanya, meninggalkan dirinya, egonya dan akalnya demi menikmati keindahan cinta ciptaannya.

“Cinta adalah hikayat tanpa penghujung, sakit tanpa ubat, akal kebingungan untuk memahaminya, jiwa tidak terdaya untuk menanggungnya, pencinta menjadi korbannya, yang mengaburi pandangan, pandangan bagi yang kabur.”
Rasael Khawaje Abdullah Ansari

“Dalam menghuraikan cinta, akal terbaring tak berdaya.”
Rumi

Thursday, February 02, 2012

Belajar ‘Self Improvement’ Dari Negara China


Siapa sangka negara yang mempunyai sebuah ketamadunan yang gah di mata sejarah pernah jatuh dan dianggap sebagai orang sakit Asia. Peta negaranya pernah diubah-ubah dan dicarik-carik oleh penjajah barat dan Jepun dengan sesuka hati. Negara China pernah dibahagikan sehingga ada wilayah yang dikuasai oleh Jerman, Belgium, Perancis, Portugis, Rusia dan Itali.

Dasar tutup pintu yang telah dilancarkan oleh pihak Komunis mengakibatkan China ketinggalan dalam semua bidang. Perubahan daripada sistem ekonomi bebas kepada sistem ekonomi terpusat membawa kepada keruntuhan ekonomi yang mendadak. Wajah China kembali berubah dengan lebih hebat apabila pihak Komunis melancarkan revolusi kebudayaan bagi membentuk satu masyarakat yang tidak mempunyai kelas dan berpegang kepada fahaman Komunisme. Dikhabarkan pada waktu itu, China telah ketinggalan 100 tahun kebelakang berbanding pihak barat dan negara jirannya di Asia Timur.


Walaubagaimanapun, negara China tidak selamanya begitu. Mereka bangkit menentang Komunisme dan penjajahan. Mereka sedar dari lena yang panjang. Mereka bangkit menjunjung ekonomi yang ampuh. Kemasukan pelabur asing semakin rancak. Pusat-pusat penyelidikan mula ditubuhkan secara besar-besaran. Kesannya, dalam tempoh tidak sampai dua dekad, China sudah mampu melancarkan satelit komunikasi sendiri dan pada tahun 2003 mereka sekali lagi melancarkan teleskop angkasa dengan kerjasama Jerman. Seramai 300000 pelajar dihantar keluar negara bagi mempelajari teknologi barat untuk dibawa masuk ke China. Dikatakan Deng Xoping adalah individu yang bertanggungjawab memacu perubahan ini.

Kini China muncul sebagai salah sebuah negara penting di Asia. An Wan Seng didalam bukunya ‘Rahsia Bisnes Negara China’ mengatakan “sekiranya China berjaya mempertahankan momentum pertumbuhan ekoominya, tidak mustahil satu hari China bakal menjadi salah sebuah negara peneraju ekonomi dunia di samping mempunyai teknologi yang  tercanggih di dunia.”

Hina & Kebangkitan

Di sini kita dapat meletakkan beberapa karakter bagi kebangkitan negara China untuk kita pelajari, antaranya:

  • Tidak mudah mengalah
          Masyarakat China sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang tidak mudah mengalah. Ini semua dapat dibuktikan dengan sejarah ketamadunan mereka sendiri yang membangun dengan hebatnya di mata dunia. Sikap yang tidak mudah mengalah menentang penjajahan inilah yang akhirnya membawa mereka ke satu era baru kemajuan negara. Sikap ini yang perlu ada pada setiap manusia kerana insan yang tidak mudah mengalah adalah insan yang bakal menemui kejayaan di dalam kehidupan. Asasnya terdapat dua jenis mengalah dalam kehidupan seharian kita. Pertama mengalah dalam perkara yang sia-sia seperti dalam pergaduhan dan mengalah dalam membina kebangkitan diri seperti yang ditunjukkan oleh negara China ini. Jadi, mengalah yang kedua inilah yang seharusnya kita hindari kerana mereka yang mengalah dalam meningkatkan kemajuan diri bakal menemui pelbagai kegagalan dalam kehidupan.

  • Berusaha sebaik mungkin
         Dalam kehidupan, kita digalakkan oleh Allah s.w.t. untuk sentiasa berusaha sebaik mungkin dan mengelakkan diri kita daripada sifat meminta-minta. Inilah yang ditunjukkan oleh negara China. Walaupun berada di alam era kegelapan, mereka tetap berusaha untuk menentang kezaliman dan kekejaman yang dihidangkan oleh pihak Komunis yang diterajui oleh Mao Zedong. Walaupun penentangan itu pada peringkat awal tidak berjaya tetapi siri-siri penentangan yang dilakukan telah berjaya menanam sentimen kebencian terhadap Barat dan Komunis. Ini menandakan usaha mereka semakin menampakkan cahaya kejayaan.

Ikuti sambungan seterusnya di dalam buku 'Give & Take antara Hamba dan Pencipta'...

p/s: Buku ini boleh diperolehi melalui pembelian di PTS.com. Para pembaca juga dijemput untuk berinteraksi dan berkongsi idea serta pandangan mengenai buku ini di FB rasmi Give & Take antara Hamba dan Pencipta atau di FB penulisnya sendiri menerusi nama Imtiaz Khan.