diTag oleh: _luVy*dUcky_ Immukmin Zetchi Henry
Tahukan anda bahawa frasa ‘aurat’ berasal daripada perkataan ‘a'ur’ yang bererti sesuatu yang mengaibkan. Fitrah insani pula suka menjaga, memelihara & menyembunyikan segala kebusukan, keburukan & kejelekan diri. Maka walaupun hanya sekadar memahami maknanya sahaja sudah cukup bagi kita untuk memahami hikmah pengsyariatan penutupan aurat buat seluruh ummah! Mengapa masih mahu berbahas panjang? Siapakah yang sanggup menampakkan kudis dan parut-parut luka di tubuhnya buat tatapan umum? Sedangkan tumbuhnya jerawat di paras rupa nan indah pun sudah menimbulkan resah dan gelisah, diusahakan dengan pelbagai cara dan gaya agar segera hilang tanpa dapat dikesan. Semuanya kerana perkara-perkara ini dianggap sebagai hodoh, buruk, jijik dan mengaibkan! Maka apa bezanya dengan aurat ‘yang mengaibkan’ itu?
Bergayalah sehebat dan seindah mana pun yang bersesuaian dengan persekitaran, suasana mahupun tempat bekerja. Berfesyenlah semoden dan secantik mana pun untuk ke ‘dinner’, ‘meeting’ mahupun untuk kembara merentas benua. Kerna sememangnya pak-pak kiyai, pak-pak imam dan ustaz-ustaz muda di sana amat sukakan keindahan dan kecantikan itu! Cuma penuhilah lima perkara mudah agar aib pada dirimu itu tidak terus terdedah.
1. Berpakaian longgar & tidak ketat hingga menonjolkan bentuk badan
2. Tidak terlalu nipis hingga nampak jelas warna kulit & badan
3. Menutupi seluruh anggota yang wajib ditutup
4. Gaya berpakaian tidak menyerupai berlawanan jantina
5. Tidak terlalu labuh hingga mengheret tanah & tidak pula terlalu singkat
Semoga kemodenan fizikal yang kita kecapi kini tidak memaksa kita kembali kepada keruntuhan moral dan nilai zaman Jahiliah. Tahukan anda seperti mana pakaian wanita pada zaman Jahiliah itu?
“..adalah panjang di belakang tetapi terbuka di hadapan, menampakkan leher dan dada. Itulah yang dikatakan tabarruj (perhiasan) Jahiliah, sedangkan pakaian wanita muslimah adalah labuh di belakang dan labuh di hadapan..”
Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:
“..dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..” (surah an-Nur: ayat 31)