Manusia sering jatuh cinta kepada keindahan. Keindahan ada dua jenis, yang zahir dan yang batin. Yang zahir akan cepat sirna dengan peredaran waktu. Wajah yang cantik dan tampan akan kecut dimamah zaman. Keindahan batin adalah sifat-sifat terpuji yang menyentuh hati, ia akan kekal memikat para pencinta. Alam ini adalah lambang dari keindahan pencipta-Nya. Allah Maha Indah dan keindahan-Nya abadi. Hanya hati-hati yang buta yang tidak mampu melihat keindahan Allah. Hati-hati yang celik akan terpesona dengan keindahan-Nya dan akan bertasbih memuji-Nya. Mereka yang disentuh dengan rasa cinta kepada Allah tidak akan menghiraukan yang lain. Mereka menjadi gila kepada keindahan Allah dan tidak mahu berpisah dengan-Nya. Hati kita adalah milik Allah dan perlu diisi dengan kecintaan kepada-Nya. Hati yang memiliki cinta Allah adalah hati yang memahami perkara-perkara yang tidak mampu dipelajari, kerana gurunya adalah Allah sendiri. “Bertaqwalah kepada Allah, maka Allah akan mengajar kamu al-Quran.”
Kata Ilah bererti ‘yang dirindukan’ atau ‘yang dicintai.’ Setiap perbuatan yang kita lakukan, kita akan memulakan dengan kalimat cinta. Kalimat itu adalah bismillahirrahmanirrahim. Nama Allah ‘yang dirindukan’ dan ‘yang dicintai’ disertakan dengan dua sifat ‘rahmaniah’ dan ‘rahimiah’ yang keduanya merupakan lambang kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya. Islam adalah agama cinta, Allah disembah kerana cinta kepada-Nya, hamba-Nya adalah yang mencintai-Nya. Dia ingin diingati dengan cinta. Setiap waktu kalimat cinta diucapkan oleh hamba-Nya. Semua ciptaan-Nya adalah jalan untuk mencintai-Nya. Dia meletakkan cinta dalam diri manusia kerana Dia mahu dicintai. Cinta itu adalah Allah.
Tulisan: Syed Hassan al-Attas