Siapakah Anwar Ibrahim?
Seorang pengkhianat bangsa dan agen kuasa asing!
(ditayangkan beberapa gambar Ketua Umum PKR merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen itu sedang berbincang dengan beberapa pemimpin asing, termasuk dari kalangan Zionis Yahudi kononnya)
Siapakah PAS?
Sebuah parti yang mempergunakan Islam bagi mengaut keuntungan politik & membenarkan kekacauan bagi mencapai cita-citanya!
(ditayangkan slide show gambar kekecohan di Batu Burok, Kuala Terengganu selepas pihak berkuasa melarang ceramah pembangkang diadakan di sana sehingga 'terpaksa' melepaskan peluru hidup yang mengenai dua orang awam. Gambar-gambar ini turut diselang-selikan dengan peristiwa penyembelihan etnik di Indonesia seolah-olah ianya realiti yang akan berlaku di negara ini akibat 'keganasan' & 'kebiadapan' penyokong PAS)
Siapakah DAP?
Sebuah parti serpihan PAP pimpinan Lee Kuan Yew yang bakal meneruskan legasi bagi menjayakan konsep ‘The Chinese Belt’ (Jajaran Cina) di Malaysia!
(ditunjukkan statistik peningkatan wakil rakyat dari parti itu di dalam DUN dan Parlimen. Konsep 'The Chinese Belt' yang pernah disebutkan Tun Hussein Onn didendangkan kembali - kononnya penguasaan secara senyap bangsa Cina ke atas politik dan ekonomi orang Melayu sedang berlaku setelah kejatuhan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang. Sedangkan BN juga sudah kehilangan majoriti di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Mereka mendakyahkan bahawa inilah satu gerakan bangsa Cina untuk menguasai Malaysia secara halus. Lingkarannya bermula dari negara tembok besar China hingga ke Singapura)
Ketika Dato' Seri Najib Razak lantang menyayikan lagu 1Malaysia, dalam diam2 rupanya ada yang tidak kena dengan pembentukan masyarakat majmuk di negara kita. Semuanya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk membentuk persepsi bahawa hanya UMNO sahajalah yang boleh menjaga kepentingan orang Melayu & hanya BN sahaja yang boleh mentadbir Malaysia . Mereka lupa bahawa dalam BN itu juga ada Samy Vellu dan Chua Soi Lek. Mereka buat-buat lupa bahawa dalam BN itu lebih ramai pemangsa yang membaham harta kekayaan tanah air untuk perut masing-masing, termasuk yang menjual undang-undang & Perlembagaan negara untuk kekal berkuasa.
Pengalaman menyertai BTN di sebuah kem di Johor menjelaskan betapa wajarnya tindakan Pakatan Rakyat yang didahului kerajaan negeri Selangor mengharamkan penglibatan warga kerja dan pelajarnya ke kem tersebut sedikit masa dahulu. Kenyataan yang disebut di atas cuma sebahagian daripada dakyah-dakyah yang telah dipaksakan ke atas saya sepanjang berada di sana . Walaupun diakui matlamatnya mungkin baik, pengisian modulnya mungkin lengkap dalam membentuk jati diri individu, disiplin & semangat patriotisme anak Malaysia , namun kemasukan anasir-anasir negatif ini tentunya bisa membawa mudharat yang tidak kurang besarnya.