Tuesday, April 22, 2025
PMX Negarawan Ulung
Saturday, April 19, 2025
Orang Tua Dan Media Sosial
Wednesday, April 16, 2025
Adakah Aku Pentaksub Politik?
Buat adik-adik dan 'cybertrooper' upahan yang baru berjinak-jinak dengan politik, kalau nak hentam atau berdebat dengan aku di media sosial, pastikan ilmu kalian penuh di dada. Ingat, sebelum kalian jadi pentaksub dan pencacai parti politik, aku berpuluh tahun lebih awal sudah berada di posisi itu.
Untuk pengetahuan semua, aku mula didoktrin sebagai pentaksub PAS sejak zaman sekolah rendah lagi. Tahun 1998, era kebangkitan reformasi, zaman itu jugalah aku selalu pergi dengar ceramah PAS; berjalan kaki beratus meter sebab parking jauh, isi seringgit dua derma jihad dalam tin milo, menonton VCD ustaz Akhil Hayy sampai hafal lirik lagu rekaan dia (Sejati jadi Royalti) misalnya, semua itu adalah pengalaman manis masa kanak-kanak aku. Masih segar dalam ingatan montaj-montaj kebangkitan rakyat melawan kezaliman regim Mahathir, khususnya menerusi platform Barisan Alternatif.
Meskipun masuk sekolah menengah berasrama penuh semenjak Tingkatan 1 (MRSM), minat aku terhadap politik tidak pernah pudar. Dengan rakan-rakan sefikrah, "usrah" kami memang sembang bab politik saja. Hujung minggu, waktu 'outing' orang lain keluar bandar seludup rokok atau 'handphone', aku pula seludup surat khabar Harakah! Pelajar lain 'healing' layan manga, aku pula 'healing' layan Harakah dari kulit ke kulit.
Pada zaman matrikulasi, berapa banyak buku tulisan Tuan Guru Presiden (HAHA) dan Mursyidul Am (TGNA) aku khatam dan hadam. Antara yang masih dalam ingatan termasuklah Sirah Nabawiyyah, Islam & Demokrasi, Qazaf Mangsa Fitnah, Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari, Insan Ingatlah, Kisah Cinta Dalam Al-Quran dan Telaga Budi. Semua koleksi bacaan masih bersusun elok dalam rak buku di kampung. Dalam bab politik pula, lenggok pimpinan dan corak pemikiran Hadi Awang agak berbeza dengan Nik Aziz. Kalau bukan kerana Nik Aziz, PAS sudah lama terlebih dahulu membentuk kerajaan perpaduan (unity government) bersama UMNO, bukannya PKR seperti hari ini. Itupun kerana terpaksa asbab keputusan PRU-15 yang tergantung; tiada majoriti mutlak dari 3 penjuru yang bertembung. Pasca matrikulasi, aku makin sedar bahawa minat aku lebih mendalam terhadap sejarah dan politik berbanding sains dan matematik.
Masuk sahaja zaman kolej dan universiti, aku sendiri mula berjinak-jinak secara langsung dalam sistem demokrasi. Alhamdulillah, setiap kali masuk bertanding pilihan raya kampus, aku tidak pernah tewas. Mungkin kerana kami jual prinsip dan idea, bukan sekadar retorik dan rupa. Di sebuah kolej Islam, aku bertanding dan menang jawatan YDP Fakulti Pengajian Islam. Bermula dari situ, aku mula belajar menyusun pelbagai aktiviti dan mengurus manusia yang kompleks. Harapannya hanya satu iaitu untuk memanusiakan manusiawi. Manusia bukan robot, bukan juga binatang, kerana kita ada akal kurniaan Tuhan. Aku menamatkan pengajian zaman kolej dalam jurusan Undang-Undang & Syariah dengan menerima Anugerah Naib Canselor dan dipilih sebagai Pelajar Terbaik Akademi Pengajian Islam.
Setelah melanjutkan pengajian di sebuah universiti awam, sekali lagi aku berpeluang bertanding jawatan MPP bagi Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan. Dari pengalaman itu juga aku mula nampak kebejatan dunia 'real-politik.' Hanya kerana aku bertanding mewakili kumpulan pro-mahasiswa (pembangkang), mulalah tersebar berita pasal keberadaan dan keselamatan keluarga aku di kampung. Malah aku sendiri dalam kawasan kampus, didatangi sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka SB, mengugut aku menarik diri dengan cara menunjuk sepucuk pistol, sehari sebelum hari penamaan calon. Dengan penuh azam dan tekad, akhirnya aku menang di kerusi fakulti, seterusnya menyumbang kepada kemenangan majoriti blok pro-mahasiswa di peringkat umum universiti. Selain MPP, aku kemudiannya dipilih pelajar sebagai Presiden Kelab Mahasiswa Sejarah, Politik dan Strategi.
Ketika zaman mahasiswa juga aku mula aktif berpartisipasi dalam himpunan parti-parti politik. Dari himpunan penamaan calon, sehinggalah disembur gas pemedih mata semasa mogok jalanan BERSIH 1.0, 2.0 dan 3.0 semua aku sapu. Aku menilai kejayaan himpunan BERSIH versi awal (dengan kehadiran majoriti Melayu) adalah kerana penglibatan PAS. Ini termasuklah peristiwa terbalikkan kereta polis di hadapan SOGO. Provokasi ini berlaku hanya beberapa meter di hadapan mata aku. Jadi tak usahlah kalian nak 'spin' itu ini, aku yakin dari air muka kebanyakan yang terlibat adalah puak pentaksub parti yang diangkut dari kampung-kampung. BERSIH 4.0 & 5.0 juga bagi aku masih berjaya walaupun tanpa penglibatan PAS (dengan kehadiran majoriti Cina), yang sudah mufarakah daripada Pakatan Rakyat. Dipendekkan cerita, selepas 3 tahun menimba ilmu di bilik kuliah dan belajar dari universiti jalanan, aku berjaya menamatkan pengajian dengan 'first-class degree' dalam jurusan Sains Politik. Hutang PTPTN pun langsai sebagai biasiswa.
Seterusnya, hanya 2 minggu selepas graduasi, aku mendaftar diri memulakan alam kerjaya di sebuah agensi kerajaan yang bertempat di Putrajaya. Bermulalah zaman aku membina karier. Ketika itu aku ditugaskan bawah sebuah 'special task-force' yang perlu berurusan dan beraktiviti dengan ahli-ahli politik pelbagai lapisan tanpa mengira parti. Menariknya, Dato' tuan pengarah yang mengetuai pasukan ini adalah orang kuat UMNO, bekas ketua pemuda dan ketua bahagian di Selangor.
Namun demikian, meski berbeza fikrah dalam politik, dalam soal kerjaya kami tetap profesional untuk bekerjasama. Malah, dia banyak permudahkan urusan aku, dan aku pun banyak temani dia ke sana ke sini. Zaman itu jugalah aku banyak peluang berjumpa orang-orang besar Kerajaan (negara serta negeri), para Menteri dan Timbalan, malah beberapa pimpinan pembangkang. Masih aku ingat saat Ezam si raja katak datang ke pejabat untuk lobi berkenaan buku terbaru tulisan beliau. Hampir setiap minggu juga jejak aku ke Perdana Putra, atas pelbagai urusan, termasuk mencatat nota mesyurat pra/pasca-kabinet yang berlangsung pada setiap hari Rabu. Kali pertama juga aku berkesempatan masuk ke dewan utama Istana bagi menghadiri istiadat rasmi.
Hubungan dan kisah aku dengan ahli politik ini berlanjutan meskipun aku berhijrah ke dunia korporat kemudiannya. Hanyir kotor hubungan politik 'versus' perniagaan, semuanya aku nampak dan dengar dengan mata telinga aku sendiri. Bawah pentadbiran UMNO-BN, nak cari makan (dibaca; projek) bukan senang. Setiap orang berkepentingan kami kena jaga bagai menatang minyak yang penuh. Sampaikan urusan bini orang (pangkat Menteri) bersalin pun kami kena tolong uruskan. Tika itu jugalah macam-macam gosip dan skandal ahli-ahli politik (kerajaan terutamanya), berada dalam poket aku. Ironinya dengan zaman kampus, pada masa itu juga aku diarahkan untuk mohon permit menyimpan sepucuk pistol daripada seorang OCPD bagi tujuan keselamatan. Tapi sekarang semua dah kelam-kelibut, ramai yang dah lompat sana-sini. Ada kera yang tebuk atap, ada katak yang masuk longkang, dan ada juga yang berjaya 'survive' sampai jadi TPM. Aku harap si TPM ini masih kenal aku, dan aku doakan satu hari nanti dia boleh naik jadi PM pertama dari peta belah sana.
Masa terus berlalu. Selepas 10 tahun, aku sekarang sudah bersara daripada dunia korporat dan kerjaya. Bukan apa, aku rasa dunia ini kekal dah tak lama, jadi cukuplah dengan aset dan simpanan berjuta yang aku ada. Bak kata HAHA; "Dah cukup jumlohhh..dah lebih dari cukup!" InsyaAllah. Selepas ini kita fokus menikmati hidup, dan bersedia menuju mati. Bab politik, cukuplah aku sekadar memerhati dan menilai dari luar gelanggang. Cuma kalau belum kenal, janganlah sesuka hati nak berdebat atau maki aku, risau nanti terlondeh dengan fakta, data, misalan dan segala macam teori politik buat kalian malu sendiri.
Bersandarkan pengalaman dan pengetahuan yang dipetik selama lebih 25 tahun, kiblat politik kepartian aku pun sudah banyak berubah. Bagi aku parti cuma wadah, apa yang penting adalah bagaimana seorang pemimpin memikul tanggungjawab untuk kesenangan rakyat dan kemakmuran negara. Jadi kesimpulannya benar, aku memang taksub politik tapi aku bukanlah pentaksub parti. Setiap orang boleh berubah, begitu jugalah setiap pemimpin atau parti yang dipimpin mereka.
Rasanya cukuplah tulisan aku buat kali ini. Blog ini pun dah lama bersarang, bertahun tidak ada sebarang nukilan. Sementara ada masa, mood dan idea ini sempatlah aku mencoret rasa, menulis seribu dua patah kata. Selepas ini entah bila.
T.A.M.A.T