Wednesday, May 21, 2025

Melayu Ketinggalan Bab Merancang Kewangan

Kadang sedih pabila mengenangkan fahaman masyarakat kita, terutama Melayu Muslim mengenai bab perancangan harta dan pengurusan risiko kewangan (dibaca; merancang kewangan). Ada saja komen negatif penuh sindiran.

Kenapa perlu merancang untuk hari tua, bukankah kalau mati muda langsung tak sempat merasa? Kenapa perlu tinggalkan harta untuk anak bini, bukankah rezeki Tuhan tetap ada selagi mereka belum mati?

Memang benar soal ajal maut dan rezeki semua ketentuan Allah S.W.T. Cuma tidak salah juga untuk kita merancang kewangan sebagai persediaan awal demi maslahah diri, waris dan ummah. Tidak ada apa yang rugi pun, malah pahalanya pasti berganda. 

Usah banyak alasan kerana dengan ilmu pasti ada cara. Sedikit atau banyak itu nombor dua, yang penting ada kefahaman dan kemahuan. Pasti dipermudahkan urusan.

Titipan ini saya kongsikan sebagai pedoman, bukan kerna megah dengan kemewahan. Kerna hakikatnya, saya lebih memilih jalani hidup ini dengan besederhana cuma. Jika rasa ada baiknya jadikanlah teladan, jika tidak jadikanlah sempadan. 

Meskipun ramai yang perlekeh keputusan saya untuk bersara awal misalnya, namun saya sudah ada rancangan dan kira-kira kewangan. Sudah siap pelan A, B atau C. Berapa yang perlu untuk survive, bantu orang dan berapa pula baki yang ada sebagai tinggalan.

Biarpun saya matinya esok, lusa atau 40 tahun mendatang, saya sudah pasakkan niat. Dengan nilai lebih jutaan ringgit, selain hibah buat yang tersayang dan faraid untuk ahli waris, harta peninggalan saya juga akan ada bahagian wakaf untuk ummah. Bahkan nilainya lebih besar memandangkan bilangan waris yang sedikit dan mampu.

InsyaAllah. Di samping zakat dan infaq semasa hidup, moga wakaf ini juga memberi saya pahala yang berpanjangan asbab bijak merancang kewangan.

Aamiin.

No comments: