Wednesday, May 21, 2025

Melayu Ketinggalan Bab Merancang Kewangan

Kadang sedih pabila mengenangkan fahaman masyarakat kita, terutama Melayu Muslim mengenai bab perancangan harta dan pengurusan risiko kewangan (dibaca; merancang kewangan). Ada saja komen negatif penuh sindiran.

Kenapa perlu merancang untuk hari tua, bukankah kalau mati muda langsung tak sempat merasa? Kenapa perlu tinggalkan harta untuk anak bini, bukankah rezeki Tuhan tetap ada selagi mereka belum mati?

Memang benar soal ajal maut dan rezeki semua ketentuan Allah S.W.T. Cuma tidak salah juga untuk kita merancang kewangan sebagai persediaan awal demi maslahah diri, waris dan ummah. Tidak ada apa yang rugi pun, malah pahalanya pasti berganda. 

Usah banyak alasan kerana dengan ilmu pasti ada cara. Sedikit atau banyak itu nombor dua, yang penting ada kefahaman dan kemahuan. Pasti dipermudahkan urusan.

Titipan ini saya kongsikan sebagai pedoman, bukan kerna megah dengan kemewahan. Kerna hakikatnya, saya lebih memilih jalani hidup ini dengan besederhana cuma. Jika rasa ada baiknya jadikanlah teladan, jika tidak jadikanlah sempadan. 

Meskipun ramai yang perlekeh keputusan saya untuk bersara awal misalnya, namun saya sudah ada rancangan dan kira-kira kewangan. Sudah siap pelan A, B atau C. Berapa yang perlu untuk survive, bantu orang dan berapa pula baki yang ada sebagai tinggalan.

Biarpun saya matinya esok, lusa atau 40 tahun mendatang, saya sudah pasakkan niat. Dengan nilai lebih jutaan ringgit, selain hibah buat yang tersayang dan faraid untuk ahli waris, harta peninggalan saya juga akan ada bahagian wakaf untuk ummah. Bahkan nilainya lebih besar memandangkan bilangan waris yang sedikit dan mampu.

InsyaAllah. Di samping zakat dan infaq semasa hidup, moga wakaf ini juga memberi saya pahala yang berpanjangan asbab bijak merancang kewangan.

Aamiin.

Saturday, May 10, 2025

Fitnah Ibarat Api Dalam Sekam

Prinsipnya mudah, seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah. Tanpa bukti keterangan yang nyata, tanpa bilangan saksi yang cukup, apatah lagi tanpa pengakuan salah yang jelas, bagaimana anda boleh menghukum si tertuduh sebagai bersalah? Bukankan ini satu bentuk fitnah. Sesungguhnya, kebenaran tidak akan tertegak hanya dengan syak wasangka. Dan keadilan tidak akan berdiri hanya dengan mainan rasa-rasa.

Akhir zaman ini, ternyata bahaya fitnah telah berbudaya di hadapan mata. Bukan hanya oleh si jahiliah, malah oleh para cendekiawan, asatizah dan haji serta hajah. Beringatlah, bahaya fitnah ibarat api dalam sekam. Tanpa sedar, ianya boleh melarat membakar sesiapa sahaja. Tanpa sedar, seluruh institusi boleh jadi porak peranda. Apatah lagi yang berjarak cuma sehasta.

Oleh itu, selagi mana api fitnah terus membakar, haruslah kita beruzlah agar tidak menjadi korban seterusnya. 

Membujur lalu, melintang patah. Adil yang pandu, fitnah kan kalah.

Dengan izin Allah.


Saturday, May 03, 2025

"Tiada Gangguan. Perjalanan Darah Adalah Perjalanan Roh (Jiwa)" - Ustaz Halim Zakaria.

Ramai orang sukar merawat masalah jiwa (roh) seperti depressi, anxieti, memberontak dan lain-lain kerana sifat jiwa (roh) itu sendiri adalah abstrak serta tidak nampak. Tetapi jika kita faham secara mendalam, perjalanan roh sebenarnya adalah perjalanan "darah" tentu lebih mudah untuk merawatnya.

Dalam satu kes melibatkan keluarga penulis, simptom kerap sakit kepala dan batuk-batuk, kadang hingga keluar darah dari mulut adalah disebabkan masalah gastrik yang kritikal. Apatah lagi pesakit mengaku hanya buang air besar seminggu sekali! Hasilnya darah mula tercemar (pollution) disebabkan kehadiran asid pencernaan (gas-gas toksik yang terkumpul lama) di dalam perut. Dari perut, "circulation" darah tercemar tadi mula masuk ke paru-paru hingga ke otak dan seluruh organ. Itulah punca utama pelbagai simptom penyakit fizikal, mental dan jiwa (roh) yang lemah tak berdaya. Mungkin di sinilah letak titik pertemuan pendapat ustaz PhD ini dengan para doktor yang ditemui sebelumnya.

Apakah solusinya? 

Pertama; Jaga pemakanan termasuk waktu makan, cara makan dan lain-lain amalan bagi membersihkan darah (roh) daripada aspek pemakanan. Antaranya, setiap kali bangun pagi, minum air kosong panas + 7 biji garam bukit kasar (dilarutkan). Selepas solat Subuh, minum pula satu mug air kosong + 2 sudu madu asli + 2 hirisan lemon. Banyakkan makan fiber (buah, sayur & kekacang) serta jangan minum susu selain susu kambing asli tanpa sebarang campuran. Minuman yang bagus contohnya horlick dan milo kosong (tanpa ais, gula dan susu pekat). Elakkan minuman berkafein.

Kedua; Jaga amalan termasuk banyakkan beriadah dan beribadah. Berjalan atas batu-batu sungai sambil melawan arus, berzumba dan solat (qiam, rukuk & sujud) dengan posisi betul, semuanya mampu memperbaiki dan meningkatkan "circulation" darah hingga semua anggota lahir serta zahir kembali segar sempurna.

Ketiga; Tiada masalah dapat diselesaikan jika pendam seorang. Perlu ada "pairing" yang betul supaya boleh laksanakan semua usaha di atas bersama-sama. Juga perlu banyak berkongsi walaupun melalui media sosial seperti tik-tok. Berkongsilah apa sahaja yang kita tahu, minat dan bahagia. Berkongsi juga satu sedekah.

Alhamdulillah, ada hikmah kami ikut sekali rawatan kali ini. Banyak ilmu, petua dan pendapat ustaz kasyaf ini yang boleh kami kongsi. Kenapa kasyaf? Tidak perlulah saya hurai di sini kerana ada aib yang harus dijaga.

Kesimpulannya, tiga (3) kaedah rawatan dan ilmu yang ustaz kupas berkaitan psikologi, biologi dan syifa' (perubatan islam) sangat sesuai dengan pegangan kami selama ini. Dari awal lagi. Tiada gangguan, hanya pedoman.

Wallahualam.